Anda di sini

Bajet untuk rakyat

Advertisement

FOKUS: Najib ketika membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Mendengar denyutan nadi rakyat berhubung keluhan kenaikan kos sara hidup, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2015 yang memberi fokus kepada meringankan beban mereka, seiring dengan usaha memajukan ekonomi negara.

Ketika membentangkan ‘Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat’ di Dewan Rakyat semalam, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan kali ini menitikberatkan keseimbangan antara ekonomi modal dan ekonomi rakyat.

“Ekonomi Keperluan Rakyat menjadi paksi dan pegangan dalam mendahulukan kepentingan rakyat. Baharulah nanti, apabila kita mencapai status negara maju, nikmat kekayaan dan kemakmuran sebenar negara akan melimpah ke kaki-kaki halaman serta mengetuk pintu-pintu rumah setiap rakyat di negara ini, Insya-Allah,” katanya.

Ekonomi yang berorientasikan rakyat itu merujuk kepada kepentingan rakyat bukan sahaja dari segi kos sara hidup, pendapatan isi rumah tetapi juga merangkumi peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan, kualiti hidup, perumahan, latihan, kemahiran, keusahawanan dan keselamatan.

Sebanyak RM273.9 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2015 yang meliputi RM223.4 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM50.5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Bagi memulakan usaha membantu rakyat itu, Najib menarik perhatian kepada cadangan kerajaan untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan individu antara satu hingga tiga mata peratusan, menjadikan 300,000 orang tidak lagi perlu membayar cukai bagi tahun taksiran 2015.

Selain itu, golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan juga tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan April tahun depan tidak membebankan rakyat kerana mereka yang menggunakan petrol RON95, diesel dan LPG bakal menikmati pelepasan cukai itu.

Berbeza dengan tanggapan kononnya GST akan menyebabkan kenaikan harga semua barang, Bajet 2015 mencadangkan lebih separuh daripada 944 barang dan perkhidmatan diberi penurunan harga sehingga 4.1 peratus apabila cukai itu dilaksanakan.

Bagi melegakan kesan peningkatan kos sara hidup, kerajaan mencadangkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ditingkatkan daripada RM650 kepada RM950 bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.

“Isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 pula akan menerima BR1M sebanyak RM750 berbanding RM450 sebelum ini,” kata Najib.

Golongan bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan juga akan menerima BR1M sebanyak RM350, berbanding RM300 sebelum ini.

Najib yang berbaju Melayu jingga berkata, kerajaan akan meneruskan komitmennya memberi bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar, yang membabitkan 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah dengan peruntukan RM540 juta.

Najib berkata kerajaan juga akan terus membela golongan miskin, kanak-kanak, warga emas dan OKU dengan memperuntukkan RM1.2 bilion buat mereka.

“Untuk menunjukkan keprihatinan kepada golongan ini, kerajaan bersetuju kadar bantuan bagi OKU bekerja dinaikkan daripada RM300 kepada RM350, manakala bagi OKU tidak bekerja dinaikkan daripada RM150 kepada RM200.

“Ini memberi manfaat kepada 110,000 OKU dengan peruntukan sebanyak RM66 juta,” katanya. Selain itu, pelepasan cukai bagi setiap anak OKU juga dinaikkan dari RM5,000 kepada RM6,000.

Berita yang dinantikan penjawat awam juga terjawab apabila Najib mengumumkan pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji atau bayaran minimum RM500 untuk mereka, manakala pesara kerajaan diberi bantuan khas sebanyak RM250, yang semuanya dibayar pada Januari depan.

“Saya berharap pemberian ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kenaikan kos sara hidup dan menjaga kebajikan para penjawat awam, terutamanya kepada keluarga untuk persediaan musim awal persekolahan nanti,” katanya. — Bernama

Advertisement