Anda di sini

Timba pengalaman

Advertisement

Pemain Akademi Frenz United berkelana di UK

KUALA LUMPUR: Seramai 24 pemain Akademi Bola Sepak Frenz United (FUFC) akan berkelana selama dua minggu di United Kingdom sebagai persiapan awal untuk menghadapi Piala Antarabangsa Frenz 2015.

Penasihat Teknikal FUFC, Steve McMahon berkata kunjungan berkenaan dapat menambah ilmu daripada pasukan yang lebih baik selain menjadi kayu pengukur kepada persediaan pemain menghadapi kejohanan tersebut.

“Dengan peluang seperti ini, Frenz United akan berupaya untuk belajar, berlatih pada standard tertinggi terutamanya bersama barisan kejurulatihan Liverpool FC. Pengalaman ini sudah tentunya begitu berharga,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

McMahon juga merupakan pengurus dan ketua jurulatih FUFC.

Berkongsi pandangan yang sama adalah seorang lagi Penasihat Teknikal akademi itu, Jita Singh yang menyifatkan jelajah berkenaan sebagai medan terbaik untuk mengetengahkan bakat pemain akademi tersebut selain menimba pengalaman berguna berdepan pasukan yang hebat.

“Untuk beraksi menentang sebuah pasukan yang bagus, berlatih, menimba ilmu bersama mereka adalah dua perkara yang berbeza. Ilmu yang ditimba di sini tidak terdapat di mana-mana.

“Para pemain cukup bertuah untuk diberi peluang ini dan saya mahu mengucapkan tahniah kepada pengurusan Frenz United kerana menjadikannya satu realiti,” kata Jita yang juga bekas jurulatih Singapura era 80-an.

Kenyataan itu menyebut sepanjang jelajah selama dua minggu itu, pasukan Frenz United akan mengadakan tiga aksi persahabatan menentang pasukan Bawah 17 (B-17) Manchester City FC, Blackburn Rovers FC dan Liverpool FC, masing-masing pada 14, 16, dan 21 Oktober ini.

Pasukan Frenz United dijangka berlepas ke United Kingdom pada 12 Oktober ini sebelum kembali ke tanah air pada 24 Okt.

Jelajah berkenaan merupakan yang ketiga oleh pasukan berkenaan tahun ini selepas terlibat dalam siri jelajah di Vietnam dan Indonesia masing- masing pada Jun dan Julai lalu.

Akademi Bola Sepak Frenz United berpangkalan di Janda Baik, Bentong, Pahang merupakan sebuah akademi bola sepak ditubuhkan pada 2012 dengan matlamat mencungkil bakat pemain berpotensi berusia 17 tahun. — Bernama

Advertisement