Anda di sini

Lebih 6,000 sertai larian ‘monster’

Advertisement

KUCHING: Lebih 6,000 peserta mengambil bahagian dalam larian diadakan malam kelmarin yang berbetulan dengan sambutan Halloween untuk mengumpul dana bagi tiga persatuan kebajikan.

MERIAH: Peserta mengambil bahagian pada larian amal di Kuching, malam Sabtu lalu.

Acara larian ‘Monster Dash Charity Run 2’ sejauh lima kilometer itu dianjurkan OurYouth.my untuk tahun kedua.

Larian bermula dan berakhir di Le Park belakang Dewan Suarah Kuching di sini.

Pengasas dan Pengarah OurYouth.my, Datuk Patrick Liew berkata larian itu menggalakkan orang ramai berpakaian seperti zombi dan raksasa untuk ‘menakutkan’ peserta semasa acara itu menyasarkan mengumpul antara RM160,000 dan RM280,000 untuk Sarawak Children’s Cancer Society (SCCS), Society for Critically Sick Kids (S.O.S. Kids) dan Kuching and Samarahan Division Cerebral Palsy Association.

“Berlari kini menjadi trend kerana orang ramai mahu berseronok dan kami menyasarkan sekurang-kurangnya 8,000 hingga 10,000 pelari tahun depan, dan ia akan menjadi acara tahunan,” kata Patrick kepada pemberita selepas majlis pelepasan peserta oleh Menteri Muda Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Katanya, larian itu dianjurkan atas permintaan ramai dan ia bukan sahaja memperkenal gaya hidup lebih sihat tetapi juga sebagai landasan orang ramai menjalin hubungan sosial terutamanya dalam kalangan belia.

Patrick berkata, larian juga akan diadakan di Sibu dan Miri.

Advertisement