Anda di sini

JPAM galak anggotanya sertai sukan

Advertisement

SRI AMAN: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sentiasa menyokong dan menggalakkan anggota sukarelawan menyertai aktiviti sukan dan rekreasi bagi mendukung hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi sihat, aktif dan berwawasan.

Pegawai JPAM Daerah Sri Aman, Hafizul Samah berkata penyertaan aktiviti sukan melibatkan anggota sukarelawan JPAM bukan sahaja menjadi medan terbaik rekreasi malah sebagai sesi perkongsian idea dan percambahan pendapat bagi memantapkan tugas masing- masing.

Menurutnya, sukan merupakan medium memupuk perpaduan serta meluaskan pergaulan sesama anggota sukarelawan.

“Penganjuran aktiviti sukan adalah bersesuaian dan dianggap sebagai usaha mencapai hasrat dan aspirasi kerajaan meningkatkan penglibatan anggota dalam aktiviti sukan,” katanya pada Kejohanan Sukan Piala Pusingan PPAD JPAM Daerah Sri Aman di Pejabat Pertahanan Awam di sini semalam.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa berikthiar untuk memaju dan memanfaatkan sukan dalam masyarakat melalui usaha melahirkan bakat-bakat baharu berpotensi serta menggalakkan peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal.

“Penganjuran sukan melibatkan anggota sukarelawan di sini merupakan landasan terbaik untuk anggota menilai bakat-bakat dan kemampuan masing-masing,” ujarnya.

Beliau berharap agar penganjuran ini dapat melahirkan jaguh pelapis mampu menyumbang ke arah kecemerlangan sukan negeri dan negara melibatkan anggota JPAM.

Pelbagai acara dipertandingkan seperti bola tampar, futsal, badminton dan sebagainya.

Hafizul turut menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam semua acara.

Advertisement