Anda di sini

Anjur banyak aktiviti galak semangat 1Malaysia

Advertisement

Oleh Connie Sylvia Mesa //

SIMBOLIK: Lai (tengah) bersama para kaunselor MBM memotong reben belon simbolik perasmian Pesta Kanak-kanak 2014 di Dewan Suarah Miri, kelmarin.

MAJLIS Bandaraya Miri (MBM) akan menganjur lebih banyak aktiviti kemasyarakatan sebagai mempromosi dan menyokong semangat 1Malaysia dalam kalangan masyarakat.

Datuk Bandar MBM Lawrence Lai berkata, usaha terbabit secara langsung akan membantu kerajaan meningkat semangat perpaduan dan keharmonian rakyat.

Jelasnya, masyarakat tidak seharusnya memandang remeh kekukuhan perpaduan sedia ada sebaliknya terus memelihara dan mengekalnya.

Lai berkata demikian pada majlis perasmian Pesta Kanak-kanak 2014 anjuran Perpustakaan Awam Miri MBM di Dewan Suarah Miri di Miri, kelmarin.

Mengulas mengenai pesta tersebut ujarnya, ia adalah contoh terbaik dalam mempromosisemangat perpaduan dengan menyatukan kanak-kanak pelbagai latar belakang agar saling bergaul rapat sesama mereka.

“Acara sebegini menggalak kanak-kanak bergaul bersama daripada pelbagai bangsa dan agama. Pada masa sama, mereka juga boleh menikmati dan mempelajari sesuatu melalui program dianjur,” katanya.

Menurutnya, pesta itu mampu memupuk serta menanam semangat cinta akan keamanan dalam kalangan pelbagai kaum.

“Daripada usia muda inilah kita mendidik dan menerap nilai murni kerana mereka bergaul tanpa melihat perbezaan tetapi saling gembira,” tambahnya.

Justeru, beliau memuji usaha perpustakaan itu menganjur pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak dan berharap ia dapat diteruskan pada masa depan.

Dalam majlis yang sama, Lai turut menyampai sijil penghargaan kepada penaja dan tadika.

Terdahulu, kira-kira 1,000 kanak-kanak daripada pelbagai tadika di sekitar Miri menyertai pesta terbabit.

Advertisement