Anda di sini

Rasionalisasi subsidi beri kemampuan kerajaan tingkatkan hidup rakyat

Advertisement

PASIR SALAK: Langkah pengurangan subsidi bahan api menerusi rasionalisasi memberi kemampuan kepada kerajaan untuk melaksanakan lebih banyak program dan pembangunan infrastruktur untuk kesejahteraan serta peningkatkan kualiti hidup rakyat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata langkah kerajaan mengurangkan subsidi bahan api itu adalah tepat kerana ia dapat membantu melonjak ekonomi negara melalui penjimatan sekali gus menambah peruntukan kepada rakyat.

“Hasil yang diperoleh daripada pengurangan subsidi itu sebenarnya menguntungkan rakyat dengan lebih banyak faedah,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan lembu untuk korban sempena Aidiladha sumbangan pelbagai pihak di Masjid Simpang Empat, Chenderong Balai di sini semalam.

Beliau diminta mengulas pengumuman pengurangan subsidi petrol dan diesel sebanyak 20 sen berkuat kuasa 2 Okt lepas yang diumum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Sehubungan itu, harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

“Kita nak guna duit daripada pengurangan subsidi untuk program pembangunan yang boleh meningkatkan ekonomi rakyat, kerana apabila ekonomi rakyat meningkat mereka ada keupayaan kuasa untuk membeli.

“Kalau potong 20 sen, tapi pendapatan boleh naik…apa masalahnya. Apa yang penting sekarang bila pendapatan meningkat mereka mampu memenuhi keperluan kos hidup,” katanya.

Tajuddin berkata sebagai contoh sebanyak RM2 bilion diperuntukkan kepada pesawah melalui pelbagai skim dan program untuk meningkatkan hasil padi.

“Pemberian input pertanian seperti baja dan racun serta insentif untuk meningkatkan hasil padi dengan menyediakan benih padi yang lebih baik,” katanya.

Katanya pendapatan golongan petani juga perlu dipertingkat selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata pelbagai mekanisme bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan dan subsidi dijangka diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2015 minggu depan. — Bernama

Advertisement