Anda di sini

Bilangan pesakit di PJHUS meningkat setiap tahun

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim //

SEJAK dibuka pada 1 Januari 2011, pesakit yang mendapatkan rawatan di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (PJHUS), Kota Samarahan semakin meningkat setiap tahun.

Terletak 15 kilometer dari bandar raya Kuching dan perjalanan kira-kira 30 minit hingga satu jam pada waktu puncak, pada tahun lalu sahaja PJHUS telah menerima 3,500 pesakit yang mendapat ‘invasive cardiac procedures’ termasuk ‘diagnostic cardiac catheterizations’, ‘percutaneous interventional procedures’ dan juga pembedahan untuk membuka dan menutup jantung.

Daripada jumlah itu juga, seramai 40 hingga 50 peratus pesakit datang dari luar kawasan Kuching seperti Miri, Limbang, Kapit termasuk dari Sabah dan negara Brunei.

Pada tahun ini, lebih 20,000 pesakit dijangka mendapatkan rawatan di PJHUS berbanding 19,706 pesakit luar yang datang ke Klinik Kardiologi tahun lalu.

Walaupun PJHUS semakin berkembang maju dan sangat kondusif kepada pesakit jantung, malangnya kawasan sekitar pusat ini masih kekurangan kemudahan tempat tinggal khasnya kepada ahli keluarga pesakit.

Kesusahan hidup ditambah jarak hotel yang jauh serta kemudahan pengangkutan yang sukar didapati serta tambang teksi yang mahal boleh mencecah RM50 dari Kuching menyebabkan mereka memenuhi kawasan rehat dan wad di hospital.

TANDATANGAN: Taib disaksikan Ragad, Dr Hilmi, Jabu dan tetamu jemputan menandatangani plak perasmian ‘SGH Heart Centre’s Dormitory’ baru-baru ini.

Atas keprihatinan dan hasrat ingin meringankan beban ahli keluarga pesakit, Yayasan Jantung Sarawak (SHF) dengan kerjasama Plaza Merdeka Holding Sdn Bhd mengambil inisiatif membina sebuah asrama terletak di PJHUS iaitu ‘SGH Heart Centre’s Dormitory’.

Pemegang Amanah SHF Senator Datuk Dr Sim Kui Hiam berkata, asrama 13 bilik berserta 25 buah katil dilengkapi dengan kemudahan lain seperti ruang tamu, ruang makan, dapur, tempat mencuci dan tandas ini pastinya dapat memberi keselesaan kepada ahli keluarga.

“Kemudahan ini amat penting kerana ada antara pesakit datang dari luar bandar seperti Limbang, Miri dan tidak semuanya mereka berkemampuan untuk menginap di hotel.

“Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa tidur di tepi katil pesakit. Kita tidak mahu perkara ini berlaku dan kita berharap ahli keluarga dapat bermalam dengan selesa dan menumpu perhatian untuk menjaga ahli keluarga yang sakit,” katanya.

Tambahnya, perkhidmatan asrama ini tidak dikenakan bayaran namun ia mengikut kriteria yang ditetapkan dan ahli keluarga boleh berbincang dengan pihak PJHUS.

Bercerita mengenai asrama tersebut, ianya telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semasa Majlis Penyerahan ‘Minimal Incision Valve Surgery Instruments & SGH Heart Centre’s Dormitory’ pada 23 September lalu.

Selain asrama tersebut, majlis tersebut turut menyaksikan Taib menyampaikan sumbangan daripada SHF berupa ‘Minimal Incision Valve Surgery Instruments’ bernilai RM1.5 juta dan ‘Oxygen Concentrator’ yang dapat memberi manfaat kepada 100 hingga 120 kanak-kanak yang dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN).

SELESA: Ruang bilik yang dilengkapi perabot di ‘SGH Heart Centre’s Dormitory’.

Selain itu, Taib turut merasmikan projek mural oleh Fakulti Perniagaan dan Rekaan, Swinburne University serta potret Laila yang terletak di lobi PJHUS.

Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan berjumlah RM1 juta kepada SHF oleh Presiden SABATI Datin Patinggi Puan Sri Jamilah Anu.

Hadir pada majlis itu ialah isteri TYT, Toh Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Advertisement