Anda di sini

Pendakwa raya percaya Alvin Tan akan kembali ke Malaysia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen semalam diberitahu, pihak pendakwaan percaya blogger kontroversi Alvin Tan atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, yang dikatakan telah melarikan diri ke luar negara akan kembali ke Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata meskipun waran tangkap masih tidak dapat diserahkan kepada Alvin selepas empat kali gagal hadir ke mahkamah, tetapi pihaknya percaya blogger itu akan kembali ke tanah air.

“Kalau dia (Alvin) berani berkata-kata kepada Polis Diraja Malaysia dan mahkamah ketika berada di luar negara, sudah tentu dia tidak akan membiarkan pasangannya, Vivian Lee berseorangan menghadapi kes yang dihadapi mereka,” katanya ketika sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini.

Wan Shaharuddin berkata demikian dengan merujuk tindakan Tan yang sebelum ini mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemimpin negara dan mengakui tidak gentar dengan Akta Hasutan melalui akaun Facebooknya.

Tan, 26, turut menyatakan dia sudah melarikan diri ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan perlindungan politik.

Hakim Abdul Rashid Daud kemudiannya menetapkan 28 Nov depan untuk sebutan waran tangkap dan meng-arahkan Vivian hadir pada prosiding itu.

Vivian, 25, atau nama sebenarnya Lee May Ling tidak hadir pada prosiding semalam selepas mendapat pengecuali-an mahkamah.

Dalam pada itu, Wan Shaharuddin berkata notis rayu-an berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menggugurkan satu daripada tiga pertuduhan yang dihadapi pasangan itu mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 28 Okt ini di Mahkamah Persekutuan.

Pada 22 Ogos lepas, mah-kamah melucutkan hak jaminan sebanyak RM20,000 terhadap Alvin kerana masih gagal hadir ke mahkamah tanpa alasan yang munasabah selepas mahkamah menge-luarkan waran tangkap ter-hadapnya pada 13 Jun lepas.

Waran tangkap itu dikeluarkan terhadap blogger itu kerana gagal hadir untuk mengembalikan semula pasport antarabangsanya yang sebelum ini diserahkan bagi tujuan melakukan penggambaran di Singapura.

Mengikut pertuduhan, Tan dan Lee didakwa memuat naik satu penerbitan menghasut di laman Facebook ‘Alvin and Vivian-Alvivi’ di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers, mengikut Akta Hasutan 1948.

Ia mengandungi gambar dan komen bertajuk ‘Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh…wangi, enak, menyelerakan !!!)’ yang mengandungi logo halal antara 11 dan 12 Julai tahun lepas di Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini.

Pasangan itu yang diwakili peguam Nur Adilah Kamar Zaman turut berdepan pertuduhan mempamer gambar lucah di https://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama antara 6 dan 7 Julai tahun lepas mengikut Akta Penapisan Filem 2002. — Bernama

 

Advertisement