Anda di sini

Pembantu JPAM kemuka tuntutan palsu didenda RM5,000

Advertisement

SHAH ALAM: Seorang pembantu pertahanan awam daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Hulu Selangor didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM3,936 tahun lepas.

Mohd Faizal Zahri, 31, yang mengetuai JPAM Hulu Selangor didakwa mengemukakan tuntutan elaun latihan, tugas dan perjalanan yang mengandungi butiran palsu menggunakan nama ibunya, Hasnah Dollah, 53, yang juga merupakan sukarelawan jabatan ber-kenaan.

Anak kepada peneroka FELDA itu didakwa me-lakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Hulu Selangor antara 5 April dan 5 Ogos 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim Datuk Noradidah Ahmad menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ataupun tiga bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Dalam penghakimannya, hakim berkata selaku penjawat awam, tertuduh seharusnya lebih berinte-griti dalam mengendalikan sebarang bentuk tuntutan sebab matlamat tidak dapat menghalalkan cara.

Terdahulu, peguam tertuduh, Ridha Abdah Subri dalam rayuan mitigasi memohon mahkamah mengenakan bon berkelakuan baik ke atas anak guamnya mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah sebab anak guamnya kesal dengan kesalahan yang dilakukan.

Katanya, Mohd Faizal yang mula berkhidmat dengan JPAM pada 2007 juga memulangkan balik duit tuntutan palsu yang di-masukkan ke akaun bank milik ibunya itu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohd Heikal Ismail membantah hujah berkenaan dan berkata mahkamah seharusnya menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh sebab me-ngemukakan tuntutan bagi tugasan yang tidak pernah dilaksanakan ibunya selaku sukarelawan JPAM sejak 2012. — Bernama

Advertisement