Anda di sini

Abu pasangan Liew, Lee lalui upacara keagamaan di Nirvana Sungai Besi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Abu mayat Timbalan Ketua Pemuda GERAKAN Cawangan Kota Damansara, Liew Yau Chee dan isteri Lee Kiah Yeen yang merupakanantara mangsa nahas tregedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, kiniditempatkan di Pusat Peringatan Nirvana Sungai Besi di sini untuk upacara keagamaan, selama sehari.

Dua kendi abu mayat pasangan suami isteri yang diliputi Jalur Gemilang itu tiba dengan kenderaan jenazah dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabngsa KL (KLIA) pada jam 9.52 pagi, diiringi kira-kira 20 anggota keluarga dan kenalan.

Timbalan Pengurus Besar Pusat Peringatan Nirvana Sungai Besi, Teh Khai Lin berkata abu jenazah Liew dan Lee akan dibawa ke Pusat Peringatan Nirvana Shah Alam pada jam 10 pagi ini untuk disemadikan di sana, atas permintaan keluarga mereka.

Turut hadir memberi penghormatan ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan, mewakili Menteri Besar Selangor.

Pasangan itu meninggalkan dua anak lelaki berumur dua dan 10 tahun serta seorang anak perempuan berusia lapan tahun.

Mendiang Liew dan isteri berlepas ke Jerman atas urusan perniagaan dan menaiki pesawat Malaysia Airlines dari Amsterdam untuk pulang ke ibu negara.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Sebanyak 44 warga Malaysia, termasuk seorang yang mempunyai dua kerakyatan, berada dalam pesawat Boeing 777-200 itu.

Penumpang lain terdiri daripada warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand. — Bernama

Advertisement