Anda di sini

Tiga awak-awak ditahan

Advertisement

AWAK-AWAK tanpa pengenalan diri sah yang ditahan pasukan KD Sri Perlis pada petang Rabu.

SANDAKAN: Tiga awak-awak yang tidak mempunyai pengenalan diri yang sah telah ditahan oleh pasukan Kapal Diraja (KD) Sri Perlis di perairan Laut Sulu, di sini petang Rabu lalu.

Menurut Komander Pangkalan Sandakan Laksamana Pertama Ahmad Abdullah, dalam operasi mengawasi keselamatan di kawasan itu, KD Sri Perlis berjaya memintas sebuah bot yang dipercayai terlibat kegiatan menyeludup pendatang asing.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang Rabu, KD Sri Perlis telah mengejar sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dan berjaya memintasnya lebih kurang 5 batu nautika Timur Laut Pulau Berhala dan lebih kurang 8.2 batu nautika dari sempadan perairan antarabangsa Malaysia-Filipina.

Hasil pemeriksaan oleh Tim Menggeledah yang diketuai Leftenan Madya Saiful Anuar Shamsuddin mendapati bot itu dinaiki lima orang awak-awak dengan tiga daripada yang berumur 21 hingga 28 tahun tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.

Pegawai Memerintah KD Sri Perlis Leftenan Komander Mohd Firdaus Mohd Hassan kemudiannya memerintahkan kesemua awak-awak itu disoal siasat dan dibawa ke Jeti Markas Pangkalan TLDM Sandakan untuk diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Sebuah bot kayu bersaiz 7 kaki yang dilengkapi enjin selain wang tunai bernilai RM496 dan 10,700 Peso, enam telefon bimbit serta kamera telah dirampas dan dibawa ke Jeti Markas Pangkalan TLDM Sandakan untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Ahmad berkata meskipun telah berusia 47 tahun, namun kewaspadaan kapal ronda KD Sri Perlis wajar diberi pujian.

Selain itu katanya, TLDM bersama agensi maritim negara akan sentiasa siaga dalam menyumbang kepada usaha menjamin keselamatan perairan negara khasnya di pantai timur Sabah.

Katanya, keluasan perairan dengan pantai sepanjang 1,400 kilometer dan risiko pelbagai jenis ancaman merupakan satu cabaran bagi pasukan keselamatan yang memerlukan kerjasama rapat serta komitmen tinggi setiap anggota, khasnya dalam kawasan operasi.

Advertisement