Anda di sini

Kem Badminton Astro sudah kenal pasti bakat berpotensi

Advertisement

KUCHING: Program pembangunan sukan di bawah inisiatif tanggungjawab sosial Astro Kasih, Kem Badminton Astro (KBA) telah mengenalpasti barisan pemain badminton muda yang berpotensi daripada sesi latihan percubaan yang diadakan di enam buah lokasi serata negeri pada 17 Mei hingga 23 Ogos 2014 yang lalu.

Lebih 1,500 peserta dari serata Malaysia telah mengambil bahagian dalam sesi ini di mana seramai 60 peserta terbaik telah dipilih untuk menjalani sesi latihan intensif pada 13 hingga 17 September 2014 di Pioneet Badminton Academy, Kuala Lumpur.

Mereka terdiri daripada 42 peserta lelaki dan 18 peserta perempuan dari Johor, Kedah Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Perak, Penang, Selangor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Sesi latihan intensif ini membolehkan para peserta meningkatkan tahap kemahiran mereka di bawah seliaan dari barisan jurulatih professional iaitu Lee Wan Wah, Chan Chong Ming dan Chew Choon Eng termasuklah bekas pemain badminton nombor satu dunia, Wong Choong Hann.

Selain daripada barisan jurulatih ini, seramai enam orang peserta Kem Badminton Astro yang ke Jepun dari sesi tahun lepas kembali pada tahun ini sebagai mentor di bawah program Kepimpinan Muda.

Seusai tamat latihan intensif di KL, kini keempat-empat ketua jurulatih KBA menghadapi tugasan sukar untuk menilai dan memilih seramai 30 orang peserta yang paling menyerlah untuk menjalani sesi latihan intensif lanjutan yang akan diadakan pada 15 hingga 25 November 2014 di Dongguan, China.

Ini adalah sebahagian daripada kerjasama Astro Kasih dan Sekolah Badminton Li Yongbo.

Para peserta terpilih ini akan ditempatkan di kediaman berprestij para jagoan iaitu Sekolah Badminton Li Yongbo di Dongguan, China.

Akademi tersebut yang dinamakan bersempena dengan ketua jurulatih pasukan badminton negara China itu diketuai oleh Tang Xianhu iaitu seorang jurulatih badminton terkemuka yang telah melatih ramai pemain badminton masyhur negara China antaranya Lin Dan.

Akademi ini juga menjadi pusat latihan pasukan kebangsaan serta menyediakan salah satu struktur program latihan terbaik di dunia.

Program Kem Badminton Astro anjuran Astro Kasih ini diharapkan dapat menyediakan para pemain muda ini akses kepada pusat latihan dan teknik-teknik yang betul di bawah tunjuk ajar dari barisan jurulatih berkelayakan, pendedahan di peringkat antarabangsa, di samping untuk terus membantu dan memupuk bakat-bakat muda dalam meningkatkan kemahiran badminton mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat Astro, sila layari www. facebook.com/astrokasihmalaysia.

 

Advertisement