Anda di sini

Jurujual kereta dilapor hilang disyaki gantung diri

Advertisement

TAWAU: Seorang jurujual kereta yang dilapor hilang oleh isterinya ditemui meninggal dunia di sini kelmarin dan disyaki membunuh diri dengan menjerut lehernya sendiri.

Si mati, Patrick Yong Den Fah, 57, ditemui dalam keadaan mayatnya terlentang dengan jerutan tali di leher dan dahan pokok mangga yang patah berhampiran pokok mangga.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah, mayat si mati didapati sudah berulat dan kembang semasa polis tiba di lokasi kejadian pada jam 1.48 petang.

“Kita menerima aduan daripada seorang lelaki yang bernama Chin Kon Tai yang memaklumkan menemui mayat di taman permainan Taman Victoria Jalan Sin On.

“Isteri si mati sudah dipanggil membuat pengecaman dan identiti mayat dikenalpasti berdasarkan pakaian ‘jurujual’ Toyota serta jam tangan yang dipakai,” katanya.

Awang berkata, sehari sebelum mayat si mati ditemui, isteri si mati ada membuat laporan polis yang mengatakan suaminya tidak pulang ke rumah selepas keluar pada 29 Oktober.

Menurutnya, polis menjalankan siasatan atas kes ‘orang hilang’ berdasarkan aduan awal yang dibuat oleh isteri si mati sebelum mayat si mati ditemui di tempat awam kelmarin.

“Kematian mangsa buat masa ini diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (gantung diri), namun siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dibuka mengikut Seksyen 7 Inkues dan siasatan kes dijalankan oleh Pegawai Penyiasat Sarjan Hamja Muhammad.

Advertisement