Anda di sini

Tubuh Pusat Penyelesaian Pertikaian Tanah Adat Platform rakyat salur masalah berkaitan isu tanah

Advertisement

KOTA KINABALU: Melihat masalah berkaitan isu hak tanah semakin kerap berlaku, Ahli Dewan Undangan Negeri Api-Api Christina Liew mencadangkan Kerajaan Negeri menubuhkan Pusat Penyelesaian Pertikaian Tanah Adat sebagai platform untuk orang ramai mengemukakan masalah berkaitan tanah adat.

Beliau berkata, cadangan itu sudah dikemukakan beberapa kali sebelum ini namun belum mendapat sebarang maklum balas daripada kerajaan.

Pusat berkenaan perlu ditubuhkan setelah melihat masalah pertikaian pemilikan tanah yang berlaku di tiga kampung di Ranau iaitu Sinurai, Wayan dan Malinsau.

“Dengan keadaan yang berlaku, pusat itu dilihat sebagai platform yang sesuai untuk melihat dan seterusnya menyelesaikan masalah pertikaian tanah adat yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini,” jelasnya.

Christina berkata, berdasarkan kes yang berlaku di Ranau, wakil rakyat kawasan terbabit seharusnya memanggil wakil penduduk, jabatan dan agensi berkaitan untuk berbincang bersama pemimpin masyarakat dan bukannya terus membawa isu itu kepada pengetahuan Perdana Menteri.

Pada Isnin lalu, Ahli Parlimen Ranau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ewon Ebin berkata, beliau akan menemui Perdana Menteri dan pihak berkaitan bagi membantu menyelesaikan isu penduduk di kampung terlibat.

Ewon berkata, seharusnya hak pemilikan tanah diberikan semula kepada penduduk kampung berkenaan.

Dalam pada itu, Christina berkata usaha meletakkan notis pengambilan tanah di pejabat tanah juga dilihat sebagai langkah yang tidak praktikal kerana bukan semua penduduk kampung mempunyai masa untuk datang ke pejabat tanah bagi melihat notis-notis yang dipaparkan.

Beliau berkata, andaian bahawa tiada bantahan diterima penduduk walaupun notis pemindahan sudah diletakkan selama sebulan tidak seharusnya dibuat kerana jika penduduk tidak melihat notis arahan berpindah bagaimana mereka ingin mengemukakan bantahan.

Mengenai pemindahan penduduk Kampung Shariff Osman ke kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kinarut kelmarin, Kordinator Projek I Link’s Anak Negeri Jan Chow berkata, perpindahan itu melibatkan 42 keluarga yang diberi pampasan rumah disebabkan tanah yang diduduki sekarang akan dimajukan untuk membina bangunan mahkamah tinggi yang baharu.

Katanya, kerajaan menerusi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu serta Pejabat Daerah Papar meluluskan 42 unit rumah PPR bagi menempatkan 42 keluarga dari Kg Shariff Osman.

Penduduk di kampung itu sudah menetap di kawasan berkenaan hampir 30 tahun dan tidak dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan air.

Kelmarin, kesemua 42 keluarga itu sudah berpindah dan menerima kunci rumah PPR masing-masing. Difahamkan ada enam keluarga lagi yang belum memperoleh rumah.

Atas keprihatinan pemaju dan agensi kerajaan terlibat, pampasan berjumlah RM 1,370 telah diberikan kepada setiap penduduk untuk membayar deposit rumah serta bayaran pengangkutan bagi mengangkat barangan mereka ke Kinarut.

Advertisement