Anda di sini

Sarawak akan tuntut keadilan buat Jelinie

Advertisement

KUCHING: Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan melahirkan rasa simpati terhadap atlet angkat berat wanita Sarawak Jelinie Empera yang sedang berdepan tuduhan penyalahgunaan dadah pada SUKMA 2014 Perlis Mei lalu.

Menurutnya, masih terlalu awal untuk membuktikan Olahragawati SUKMA 2014 itu benar-benar bersalah atas tuduhan tersebut dan berharap siasatan terhadap Jelinie dijalankan dengan adil dan telus.

“Setahu saya siasatan sedang dijalankan oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan kita akan dimaklumkan keputusannya nanti.

“Buat masa sekarang kita tidak dapat memberi sebarang komen sama ada mengaku atau menafikan tuduhan tersebut,” katanya semasa sidang media di Bangunan Baitul Makmur semalam.

Mawan bagaimanapun memberi jaminan kerajaan negeri akan melakukan yang terdaya untuk menuntut keadilan buat Jelinie sekiranya terbukti beliau tidak bersalah.

“Apapun kita melahirkan rasa simpati dengan nasib yang dihadapi oleh atlet kita itu kerana beliau telah banyak berjasa kepada negeri,” katanya.

Penarikan dua pingat emas yang dimenangi Jelinie dalam acara angkat berat wanita tidak melebihi 75kg diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada 18 September lalu selepas beliau didapati positif dadah jenis steroid.

Atlet kelahiran Miri itu merangkul emas dalam acara Snatch dan Clean & Jerk Wanita selain turut memperbaharui rekod kejohanan pada SUKMA Perlis 2014.

 

Advertisement