Anda di sini

Pengusikan elektrik bawa kesan kritikal kepada Sabah

Advertisement

KOTA KINABALU: Kegiatan pengusikan terhadap pemasangan elektrik yang dibekalkan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) boleh membawa kesan kritikal kepada bekalan elektrik di Sabah.

Ketua Penguatkuasaan Suruhanjaya Tenaga (ST) Shahidan Baharom berkata, pengusikan juga mengakibatkan terputusnya bekalan elektrik yang membawa kesan besar di kawasan yang terlibat.

Menurutnya, ST sentiasa memandang serius terhadap kes seumpama itu kerana ia membawa implikasi kepada orang awam.

Pada masa sama jelasnya, tindakan terbabit juga amat bahaya kerana penyambungan haram yang dibuat pengguna tidak mematuhi standard dan piagam yang ditetapkan.

Justeru, pihaknya mengingatkan kepada pengguna yang bercadang dan masih menggunakan elektrik secara curang supaya berwaspada kerana operasi bersama ST dan SESB sentiasa diteruskan dari semasa ke semasa.

“ST tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas terhadap golongan yang menggunakan elektrik secara curang dan membawa mereka ke mahkamah.

“Hanya mereka yang bertauliah dan mendapat sijil yang diiktiraf oleh ST dan SESB sahaja yang boleh menjalankan operasi pemasangan bekalan elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan operasi bersama ST dan SESB di sini kelmarin.

Shahidan berkata, penggunaan elektrik secara curang adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 33 Akta Bekalan Elektrik dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan denda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.

Pihaknya menjalankan lapan operasi sejak Selasa lepas melibatkan tiga kawasan iaitu Kota Marudu, Tuaran dan Alamesra dekat sini.

Menurutnya, terdapat empat kes penggunaan elektrik secara curang direkodkan iaitu dua kes di Kota Marudu melibatkan dua akaun pengguna, satu kes di Tuaran dan satu di Alamesra melibatkan dua akaun pengguna.

Beliau berkata, hasil operasi di Kota Marudu mencatatkan jumlah kerugian yang besar iaitu hampir RM200,000.

Sementara itu, Pengurus Besar (Pembahagian) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Mahathir Nor Ismail berkata, sebanyak 278 kes penggunaan bekalan elektrik secara curang melibatkan jumlah tuntutan hampir RM2.8 juta direkodkan sejak 2010 di negeri ini.

Jumlah berkenaan katanya, diperolehi berdasarkan operasi dan kadar tertinggi yang dicatatkan SESB.

“Mungkin ada lagi kes-kes yang kita tidak berjaya kesan dan jika dikenal pasti ia boleh meningkatkan kos kerugian yang ditanggung SESB,” katanya.

 

Advertisement