MIRI: Meskipun tewas kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Weston untuk akur di tempat kedua, namun pasukan bawah 14 tahun, Kelab Hoki Miri Warrior, telah membuktikan kemampuan mereka sebagai pencabar baharu sukan berkenaan.
Malah kejayaan pasukan pemain perempuan itu melangkah ke final Kejohanan Hoki Bawah 14 Tahun 9-Sebelah dan seterusnya meraih tempat naib johan adalah kejayaan manis dan di luar jangkaan pasukan tersebut, demikian menurut jurulatih pasukan, Rudi Naziri.
Kejohanan tersebut telah berlangsung di Sabah pada 27 dan 28 September lalu.
“Sungguh, saya tidak menyangka sama sekali pasukan kami akan melakukannya hingga ke peringkat final, memandangkan kami terpaksa menghadapi pasukanpasukan lain yang mempamerkan permainan amat baik.
“Justeru, walaupun hanya berada di tangga kedua, namun saya gembira kerana kami telah melakukan yang terbaik dan kejayaan ini amat bermakna dan saya amat berbangga dengan mereka,” jelas beliau kepada Utusan Borneo di sini semalam, ketika memaklumkan mengenai kejayaan pasukan terbabit.
Menurut Rudi, kejayaan yang dicapai itu adalah hasil kerja keras para pemain yang telah berlatih dengan tekun dan bersungguh-sungguh sebelum ini dibawah bimbingan penolong jurulatih, Janeter Kadir.
“Saya amat berpuas hati dengan keputusan yang diperolehi mereka kerana mereka telah memberikan komitmen sepenuhnya terhadap latihan mereka dan melakukan yang terbaik pada kejohanan ini,” jelasnya lagi.
Beliau menambah walaupun sedikit terkilan tidak berjaya menggapai gelaran juara, namun Rudi berkata semangat juang anak-anak buahnya amat tinggi dan beliau yakin mereka akan mempu melakukannya (merangkul juara) suatu hari nanti.
Beliau menambah kata, walaupun Miri tidak mempunyai sebarang padang hoki namun ia tidak melemahkan semangat mereka, sebaliknya menurut Rudi, beliau percaya anak-anak buahnya boleh melakukan kejutan lebih besar jika mereka berlatih di padang hoki yang yang sebenar berbanding hanya padang konkrit di sekolah.
Tambahnya, pasukan ini merupakan yang pertama kali daripada Kelab Miri Warrior dihantar ke luar Miri untuk menyertai kejohanan seumpama itu dan berharap pengalaman berkenaan akan mendedahkan mereka pengalaman hebat untuk terus cemerlang dalam sukan berkenaan.
Pasukan Bawah 14 Miri Warrior itu terdiri daripada gabungan enam pelajar dari Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, seorang dari SMK St Columba dan empat lagi dari SMK Sebauh, Bintulu.
Pasukan tersebut turut diiringi oleh guru penyelia, Muhamad Handi dari Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri.