Anda di sini

Harapan tinggi pada golf

Advertisement

PERANCANGAN AWAL: Mawan diberi taklimat oleh Hoan (kiri) sambil disaksikan oleh (dari kanan) Ong, Affandi dan Lucas.

Mawan mahu kontinjen golf Sarawak menghadiahkan pingat pada SUKMA 2016 nanti

Oleh Harry Illias //

KUCHING: Kontinjen golf SUKMA Sarawak telah memulakan persiapan awal bagi menghadapi temasya yang akan diadakan di sini pada 2016.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata kontinjen negeri melalui Persatuan Golf Sarawak (SGA) telah memilih beberapa pemain berpotensi untuk dihantar menjalani latihan intensif di dalam dan luar negeri.

Katanya, pemain ini juga telah menyertai kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan sebagai pendedahan untuk mempertajamkan lagi kemahiran mereka.

“Golf merupakan sukan kebanggaan di Sarawak dan kita mahu ia dipertahankan dengan menghadiahkan pingat pada SUKMA 2016 nanti.

“Walaupun golf tidak pernah memenangi sebarang pingat pada SUKMA sebelum ini, ia tidak bermakna sukan ini akan gagal menyumbang pada 2016,” katanya semasa sidang media di Bangunan Baitul Makmur semalam.

Justeru, Mawan berharap ibu bapa pemain terpilih dan persatuan sukan akan memberikan komitmen dan sokongan sepenuhnya bagi memastikan sasaran itu berjaya dicapai.

Beliau juga menegaskan, tidak mustahil bagi pemain Sarawak memenangi pingat pada SUKMA 2016 berbekalkan latihan yang betul dan lengkap serta pendedahan berterusan melalui penyertaan dalam kejohanan peringkat tempatan dan kebangsaan.

“Malah, Ketua Menteri sendiri menaruh harapan tinggi terhadap sukan golf untuk mencapai kejayaan cemerlang pada 2016 nanti,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mawan berkata persediaan Sarawak untuk menjadi tuan rumah SUKMA 2016 sedang berjalan dengan lancar.

Katanya, penyediaan fasiliti bagi tujuan tersebut juga sedang giat dilaksanakan dan yakin ia dapat disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

Sebanyak 19 sukan wajib dan lima pilihan akan dipertandingkan pada SUKMA 2016 di Sarawak.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Affandi Keli, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (PSNS) Dr Ong Kong Swee, Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Lucas Kalang Laeng dan Presiden SGA Hoan Kee Hock.

 

Advertisement