Anda di sini

Cecair ‘lebih power’ dirampas

Advertisement

Polis tumpas aktiviti edar dadah di kelab malam sekitar bandaraya

KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan satu aktiviti pengedaran dadah di kelab-kelab malam dengan menggunakan produk ecstacy cecair dan dipercayai terbaharu di pasaran berikutan kejayaan tangkapan seorang lelaki dalam satu serbuan di sebuah kondominium mewah di Tanjung Lipat, di sini baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah Superitenden Rahim Dolmat berkata, rampasan produk baharu itu adalah kejayaan kali pertama di Malaysia dan pihaknya masih menjalankan siasatan rapi berhubung kandungan cecair berkenaan.

“Buat masa sekarang, kita hanya mampu mendedahkan bahawa cecair berwarna hijau itu telah diubahsuai dengan menggunakan kandungan serbuk ecstacy.

“Berdasarkan siasan awal, difahamkan implikasi produk itu lebih mengkhayalkan serta dijual pada harga RM100 di pasaran khususnya kepada pengunjung pusat hiburan di bandaraya ini,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata, terdahulu itu pihaknya berjaya menahan suspek di Jalan Gaya sebelum membawa kepada penemuan kesemua dadah itu yang disimpan dalam plastik pembungkus makanan serta disorokkan di atas siling kondominum terbabit.

Antara yang dirampas adalah 54 botol cecair hijau (produk baharu), 81 paket plastik berisi serbuk ecstacy, 1,350 biji pil eramin, 168 biji kapsul ecstacy dan satu paket plastik mengandungi syabu.

“Dalam serbuan berlaku kira-kira jam 12.15 tengahari pada Selasa lalu, kita telah merampas pelbagai jenis dadah yang disorokkan di atas siling di kondominum disewa oleh suspek itu.

“Suspek yang berasal dari Sarawak dan berusia 29 tahun itu terlebih dahulu ditahan di belakang sebuah bank berhampiran Jalan Gaya sebelum dia membawa pasukan kita ke kondo berkenaan,” katanya.

Rahim berkata, kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM71,000 dan dipercayai untuk diedarkan di pusat-pusat hiburan sekitar Kota Kinabalu.

Menurut beliau, siasatan ke atas suspek mendapati dia yang bekerja sebagai jurujual mendapatkan bekalan dadah itu dari Sarawak untuk dijual di sekitar Kota Kinabalu dan daerah berhampiran.

“Suspek dipercayai telah menjalankan kegiatan ini sejak tiga bulan lepas dan menjadikan pusat-pusat hiburan sebagai lokasi pengedaran,” katanya.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Advertisement