Anda di sini

Cari ‘emas’ di tapak kebakaran 10 premis?

Advertisement

KEHADIRAN sekumpulan individu yang berada di tapak kebakaran menimbulkan tanda tanya di kalangan orang ramai.

TAWAU: Kehadiran sekumpulan individu di tapak kebakaran 10 premis mengundang tanda tanya apabila timbul dakwaan mengatakan kononnya mereka mencari ‘emas’.

Utusan Borneo yang melakukan tinjauan di lokasi kejadian kelmarin mendapati terdapat kira-kira 15 individu yang terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa berada di lokasi itu.

Individu terlibat dilihat ‘menyelongkar’ timbunan runtuhan bangunan dan sisa barang yang sudah musnah tanpa menghiraukan gelagat mereka diperhatikan orang ramai.

Keadaan itu berlanjutan pada waktu siang walaupun garisan kuning polis sebagai tanda ‘dilarang masuk’ ada dipasang di Jalan Dunlop dan di sekeliling bangunan terbabit.

Difahamkan, mereka sedang mencari ‘sisa emas’ yang kononnya lebur akibat insiden kebakaran di lokasi terbabit yang terkenal dengan kewujudan deretan kedai emas.

Bangunan yang musnah sebahagian itu mempunyai lapan premis kedai emas, dan empat daripadanya musnah dalam insiden kebakaran yang berlaku pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah ketika dihubungi berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak membuang masa mencari sisa emas di kawasan terbabit.

“Biarlah peniaga-peniaga terjejas menguruskan ‘hal-hal’ di lokasi kebakaran dan orang ramai pula tidak perlulah pergi membuang masa mencari sesuatu di kawasan terbabit.

“Kita tahu ramai tertarik ‘menyelongkar’ kawasan itu bukan hanya kerana lokasi itu menjadi tumpuan deretan kedai barang kemas, tetapi untuk mencari besi buruk,” katanya.

Awang berkata, polis sudah menasihatkan peniaga-peniaga yang terjejas akibat kebakaran itu supaya ‘menguruskan’ kawasan masing-masing sebelum diceroboh orang lain.

Menurutnya, polis akan turut memantau situasi semasa di lokasi itu tetapi tumpuan rondaan dan kawalan polis dilakukan pada waktu malam bukannya siang.

“Kita harap orang ramai tidak terpengaruh dengan khabar angin dan tidak mudah ‘bermimpi mahu kaya’ dengan mencari ‘harta karun’ di tapak kebakaran,” katanya.

Advertisement