Anda di sini

120 pemanah Asia akan berkampung di Sibu pada 22-24 November depan

Advertisement

SIBU: Kira-kira 120 orang pemanah dari beberapa buah negara Asia dijangka akan mengambil bahagian pada Kejohanan Memanah Sarawak Tertutup Kali Ke- 10, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Bola Keranjang di SM Tinggi Katolik pada 22 hingga 24 November depan.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Memanah Sarawak (PEMASA) Chong Yap Jin, surat jemputan akan diedar kepada persatuanpersatuan memanah daripada beberapa negara Asia selepas kerja-kerja persediaan selesai.

Antara yang mengambil bahagian termasuklah peserta dari Singapura, Thailand, Chinese Taipei, Hong Kong dan Indonesia.

Chong turut yakin bahawa pertarungan di kalangan peserta sangat sengit kerana turut mendapat penyertaan peserta pemanah tepat dari Singapura.

“Buat masa ini, saya tidak pasti sama ada pemanah dari Chinese Taipei, Hong Kong atau Thailand akan mengambil bahagian, namun kita mengharapkan penyertaan dari mereka.

“Surat jemputan akan dihantar tidak lama lagi dan kami berharap akan mendapat jawapan yang positif daripada mereka,” katanya kepada pemberita.

Selain pasukan luar negara, pasukan tempatan dijangka akan menyertai kejohanan tersebut termasuk dari Semenanjung, Sabah, Labuan dan ahli PEMASA dari Kuching, Sibu, Sarikei, Bintulu, Limbang dan Lawas.

Pertandingan tiga hari itu akan dibahagikan kepada enam kategori – Lelaki dan Wanita Recurve Bow, Bow Kompaun dan Perantis.

Yuran penyertaan ialah RM30, RM60 dan RM65, bergantung kepada kategori.

Tiga pemenang dalam kategori individu dan berpasukan, kecuali kategori yang baharu, akan menerima pingat.

Hadiah wang tunai RM1,000 akan diberikan kepada pemanah pertama yang memperolehi 300 mata daripada 30 anak panah.

Piala Kejohanan Datuk Seri Tiong King Sing juga akan diberikan kepada pasukan yang mengumpul jumlah mata tertinggi dalam semua acara berpasukan.

 

Advertisement