Anda di sini

SIRC dicadang banci penduduk di pulau untuk perkukuh keselamatan

Advertisement

Oleh S.CONNIE PEARL SUIL //

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Pang Yuk Min mencadangkan agar Pusat Penyelidikan Pulau-pulau Kecil (SIRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakukan bancian penduduk di pulau sekitar Sabah.

ISMAIL (dua kanan) menyampaikan dana SIRC iaitu hasil kutipan amal pada pertandingan Golf yang diadakan di Labuan yang lalu berjumlah RM30,000 kepada Harun

Beliau berkata, ia adalah satu usaha untuk mengukuhkan keselamatan di kawasan perairan negara dengan mengenal pasti penduduk asal di kepulauan berkenaan di samping menyelidik sekiranya terdapat sebarang migrasi secara haram.

“Saya percaya terdapat juga ahli keluarga atau komuniti di pulau itu yang mungkin telah lama mendiami pulau berkenaan, namun tidak terdedah kepada perkembangan luar. Mereka ini adalah yang dikatakan sebagai orang yang tidak mempunyai negara.

“Justeru, melalui kajian itu kita boleh memikirkan seperti kemungkinan memberi kad pengenalan khas untuk jenis penduduk sebegini bagi mengenal pasti indentiti mereka dalam usaha kerajaan mengekang pencerobohan pengganas dan penculikan,” katanya pada majlis peramian SIRC di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Pang berkata SIRC bukan sahaja memberi sumbangan kepada pengukuhan kedaulatan negara tetapi turut menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan taraf hidup masyarakat.

Beliau berkata, usaha UMS amat juga amat bertepatan khususnya dalam membantu negara membendung jenayah antarabangsa.

“Data-data kajian kelak adalah penting sebagai sumber rujukan negara untuk membangunkan kawasan terbabit bagi tujuan menaiktaraf hidup masyarakat di kepulauan berkenaan.

“Mungkin kita juga boleh sarankan agar kajian ditumpukan kepada pola dan muka bumi setiap pulau kecil ini bagi membolehkan kerajaan mengawal selia secara terperinci termasuk kawasan yang berpotensi menjadi tempat persembunyian penceroboh,” katanya.

Beliau turut menggesa agar lebih banyak institusi pengajian tinggi akan mencontohi usaha UMS dalam melakukan kajian seumpama itu yang menjurus kepada pemerkasaan aspek kedaulatan negara.

Hadir sama, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS Prof Madya Dr Ismail Ali dan tetamu kehormat yang lain.

Advertisement