Anda di sini

Mayat lelaki ditemui dengan kesan tetakan

Advertisement

Oleh Mohd Nazib Macpee //

LAHAD DATU: Mayat seorang lelaki ditemui dengan beberapa kesan tetakan dipercayai mati akibat dibunuh dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Kampung Dewata Lahad Datu, di sini awal pagi kelmarin.

Lokasi kejadian di mana mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kesan tetakan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kontinjen Sabah Senior Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman menerusi satu kenyataan akhbar di Kota Kinabalu berkata, mangsa ditemui oleh ahli keluarganya kira-kira jam 6 pagi di bawah sebuah rumah dengan keadaan berlumuran darah sebelum dikejarkan kehospital Lahad Datu.

Susulan daripada kejadian itu katanya, pihak polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu telah bertindak menjalankan siasatan.

“Hasil pemeriksaan mayat di hospital, pihak kita mendapati mangsa dikenali sebagai Mohamad Hj Tuaran berumur 41 tahun mati akibat beberapa kesan tetakan di bahagian tubuh termasuk di lengan kiri dan kanan serta bahagian perut dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam, katanya.

Berikutan itu kata Salehuddin, polis turut menahan seorang lelaki berusia 25 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, lelaki itu berjaya ditahan kira-kira jam 10.15 pagi di sebuah kebun kelapa sawit tidak jauh dari tempat kejadian dan turut merampas sebilah parang.

“Hasil siasatan awal kita dapati suspek yang juga seorang warga asing itu adalah pekerja kepada mangsa. Susulan penangkapan itu, kita percaya kes ini dapat diselesaikan dalam tempoh lebih kurang tiga jam,” katanya sambil menambah, polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut berhubung motif kejadian itu.

Beliau berkata, suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Advertisement