Anda di sini

‘Hooligan’ bukan budaya kita

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

TINDAKAN MELAMPAU: Kenderaan polis turut menjadi mangsa kemarahan penyokong.

TANGGAL 30 Ogos 2014 menjadi detik hitam dalam sejarah bola sepak Sarawak apabila lebih 2,000 penyokong bertindak merusuh di dalam dan luar Stadium Negeri, Petra Jaya selepas perlawanan Piala Malaysia, Sarawak menentang Perak.

Dianggap terburuk dalam sejarah bola sepak negeri, insiden tersebut mendapat reaksi pelbagai pihak yang rata-ratanya mengutuk perbuatan tidak bertanggungjawab dan memalukan.

Tujuh kenderaan polis dirosakkan termasuk sebuah dibakar dan lima anggota polis turut mengalami kecederaan dalam usaha meleraikan rusuhan tersebut.

Manakala lima perusuh berusia dalam lingkungan 17 hingga 23 tahun ditahan dan ramai lagi sedang diburu oleh pihak berkuasa untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Berbaloikah apa yang mereka lakukan itu hanya semata-mata mahu melepaskan kemarahan dan kekecewaan setelah pasukan kesayangan mereka, Sarawak tewas?

Bola sepak sepatutnya menjadi landasan untuk merapatkan perpaduan dan meningkatkan semangat kesukanan kini berubah menjadi zon perang penyokong.

Semuanya angkara budaya ‘hooligan’ yang kian menular kalangan penyokong bola sepak di Malaysia dan menjadi dalang kepada pelbagai insiden rusuhan yang berlaku sejak kebelakangan ini.

PERLU DIHENTIKAN: Pembakaran suar dalam stadium harus dihentikan kerana hanya merugikan persatuan bola sepak negeri.

‘Hooligan’ atau samseng bola sepak merujuk kepada kumpulan penyokong yang sering bertindak liar semasa atau selepas perlawanan.

Kumpulan penyokong ini sering bertindak mengikut emosi dan cenderung ke arah melakukan keganasan dan kekecohan.

Budaya ‘hooligan’ perlu dikikis dengan segera kerana akan meracuni minda golongan remaja secara perlahan-lahan hingga mendorong kepada perlakuan yang tidak sihat.

Selain itu, ia juga akan melumpuhkan pembangunan bola sepak negara jika tidak ditangani dengan berkesan.

Benar, tidak semua penyokong kita bersikap demikian malah ramai yang turut kecewa dengan apa yang ‘hooligan’ lakukan.

Namun, sikap tidak bertanggungjawab mereka memberi implikasi yang sangat buruk terhadap persatuan bola sepak negeri dan penyokong lain.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman pernah mendedahkan persatuan terpaksa membayar denda sejumlah RM351,000 akibat salah laku penyokong dari 2012 hingga 2014.

Ini belum lagi termasuk denda yang perlu dibayar oleh FAS akibat rusuhan terbaharu tersebut. Alangkah baiknya jika denda itu digunakan membiayai pasukan seperti membeli pemain yang lebih berkualiti atau membayar gaji mereka bagi memastikan kestabilan pasukan.

TINDAKAN MELAMPAU: Kenderaan polis turut menjadi mangsa kemarahan penyokong.

Ataupun boleh digunakan untuk memperbanyakkan kejohanan bola sepak tempatan agar lebih ramai pemain baharu dapat dicungkil.

Mungkin ramai yang belum menyedari bola sepak juga menjadi medium penting untuk merancakkan sektor pelancongan sukan yang menjadi nadi kepada sumber pendapatan negeri selama ini.

Dalam hal ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan semua persatuan bola sepak negeri juga harus berganding bahu memikirkan pendekatan secara holistik bagi membersihkan gejala ini daripada terus merosakkan bola sepak negara.

Paling penting, FAM perlu meningkatkan mutu pengadilan yang banyak menimbulkan pertikaian dan rasa tidak puas hati kalangan pasukan dan penyokong selama ini.

Malah, persatuan negeri juga perlu menjalinkan hubungan erat dengan kelab penyokong agar tidak timbul jurang antara kedua-dua pihak.

Masa depan bola sepak negara bukan hanya terletak di tangan FAM dan persatuan negeri semata-mata tetapi juga di bahu penyokong.

Kita tidak mahu kerana nila setitik, musnah segala yang kita usahakan selama bertahun-tahun untuk memartabatkan bola sepak negara.

TIDAK BERSALAH: Kanak-kanak menerima kesan akibat keganasan yang dicetuskan oleh ‘hooligan’.

Advertisement