Anda di sini

Ribuan pengunjung meriahkan Festival Layang-Layang Borneo Ke-10

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

KEHADIRAN ribuan pengunjung memeriahkan suasana pada Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo Bintulu Ke-10 yang berlangsung 24 September hingga 28 September di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.

Pelbagai acara turut diadakan sempena festival itu antaranya adalah pertandingan Asia Pasific Sports Kite Championship kali kedua dan acara pecah rekod untuk Malaysia Book of Records (MBR) melibatkan pertunjukan komposisi layang-layang yang disusun sekali gus menghasilkan bentuk rekaan unik dan menakjubkan.

Ia merupakan satu ciptaan dan rekaan pertama seumpamanya di Malaysia diadakan untuk memecah rekod MBR pada 28 September.

Festival yang genap 10 tahun diadakan itu menyenaraikan APSKC sebagai acara utama yang disertai oleh pemain layang-layang tempatan dan antarabangsa.

Sementara itu, majlis perasmian festival telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg pada petang 25 September.

Turut hadir Menteri Muda Pelancongan merangkap pengerusi penganjur festival Datuk Talib Zulpilip, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Ik Pahon Joyik, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Datu Mohidin Ishak dan Timbalan  Residen (Sosial) Richard Michael Abunawas yang mewakili Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari.

MENARIK: Peserta antarabangsa menyaksikan pelbagai bentuk dan warna layang-layang diterbangkan di ruang udara Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu baru-baru ini.

Peserta kebangsaan dibarisi oleh 63 pemain layang-layang dari sembilan negeri terdiri daripada Kelab Pelayang Pasir Gudang dan Kelab Bolong Kite (Johor), Pulau Pinang, Terengganu, Perlis, Persatuan Pelayang Putrajaya (PUtrajaya), Windlancer KL, KL Flyer Club dan Fly N Smile (Kuala Lumpur), Kedah, De Kite Junction dan Team Impian (Melaka), Persatuan Pelayang Kuching, Malaysian Airlines Team Sibu dan Miri (Sarawak).

Manakala peserta antarabangsa pula melibatkan 136 pemain layang-layang antarabangsa dari 26 buah negara terdiri daripada Australia, Belgium, China, Denmark, England, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea, Kuwait, New Zealand, Filipina, Singapura, Sepanyol, Sweden, Afrika Selatan, Thailand, Turki, Amerika Syarikat, Vietnam, Taiwan, Brunei dan Malaysia.

Selain itu, acara lain yang diadakan adalah pertunjukan layang-layang oleh peserta antarabangsa, bengkel membuat layang-layang (wau), lawatan peserta antarabangsa ke Pantai Emas Taman Negara Similajau dan lain-lain.

Dengan bertemakan ‘Perpaduan melalui Layang-layang’, festival itu diharap mampu menyatupadukan penduduk seluruh dunia serta mampu menarik pelancong ke bahagian ini bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014. Festival itu berjaya diadakan sejak tahun 2005 serta mendapat sambutan menggalakkan daripada pemain layang-layang seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis barang makanan, minuman, pakaian termasuk kraf tangan turut didirikan di tapak festival.

PENGHARGAAN: Talib (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Abang Johari sambil disaksikan oleh (dari kiri) Ik Pahon, Mohidin dan Richard.

CUBA SENDIRI: Abang Johari mencuba permainan wau di tapak festival.

Advertisement