Anda di sini

30 pelukis tempatan jayakan Kem Pelukis Niah 2014

Advertisement

Oleh Sudan Ajang //

KIRA-KIRA 30 pelukis dari seluruh negara berkampung di Taman Negara Gua Niah (TNGN) semasa Kem Pelukis Niah 2014 (KPN14) pada 13 sehingga 18 September lalu.

Antara pelukis yang menjayakan kem tersebut ialah Long Thien Shih dari Selangor), Fadzil Idris (Perak), Ayu Fairuza (Melaka), Zaidi Abdullah (Terengganu), Rudy Hazrin Abdullah (Perlis), Mohd Lokman Hakim Che Abdul Halim (Kedah), Maizul Affendy Baharudin (Pulau Pinang), Mohd Rizal Mansordin (Kuala Lumpur), Mohd Farif Abdul Jalil (Negeri Sembilan), Nurrul Ain Shaid Ahmad (Johor), Munif Muhamad Nor (Pahang), Alif Che Berahim (Kelantan), Narong Daun (Sarawak) dan Chrisna Pindah (Sabah).

Sepanjang enam hari kem tersebut, peserta menghasilkan karya, berdialog, menyertai bengkel, melukis mural, bergotong-royong, mengadakan majlis beramal dan beberapa aktiviti sokongan sempena sambutan Hari Malaysia seperti Program 1Malaysia Hijau 1 Malaysia Bersih dan Acara Khas Hari Malaysia.

Kem dianjurkan Balai Seni Visual Negara dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, MOTAC Sarawak, Pelancongan Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak Malaysia (UNIMAS) sempena 1Malaysia Contemporary Art Tourism (1MCAT) atau Festival Pelancongan Seni Kontemporari 1Malaysia.

Selari misi 1MCAT untuk meraikan seni dan memperkenal produk seni visual tempatan kepada pengunjung terutama pelancong dari luar negara, KPN14 menjadi medium terbaik dalam mengumpulkan para pelukis dari seluruh Malaysia untuk mempamerkan hasil kreativiti mereka kepada komuniti setempat di sekitar Gua Niah, selain memupuk apresiasi seni di kalangan mereka.

TNGN dipilih kerana jarang dikunjungi pelukis Malaysia sedangkan ia amat penting, di mana di situlah bermulanya seni visual yang dibuktikan dengan kewujudan lukisan-lukisan gua di persekitarannya.

Kem itu turut bertujuan mengumpul pelukis dan jurufoto tempatan untuk mengenali dan memahami tamadun, berbincang dan mengimbau peristiwa penting serta berkarya bersama-sama dalam menghasilkan dokumentasi alam yang penting di Malaysia iaitu Gua Niah dalam bentuk lakaran dan fotografi, selain mempromosikannya sebagai antara pusat pelancongan menarik.

Karya yang akan dihasilkan hanyalah terhad kepada lakaran dan karya cat air juga dibenarkan, selain kekuatan fizikal kerana keseluruhan perjalanan, aktiviti termasuk untuk sampai ke Gua Niah perjalanannya agak mencabar dan meletihkan.

Dalam kem tersebut, peserta didedahkan kepada sejarah ekskavasi dan arkeologi Gua Niah, selain karier dan teknik penjagaan sarang burung dan kehidupan dan kebudayaan masyarakat setempat.

Melalui KPN14, penganjur berharap mendapat sejumlah besar lakaran tempatan akan didokumentasi dan diterbitkan sebagai satu bentuk rujukan kepada masyarakat.

Karya-karya terbaik turut dipilih untuk dijadikan Koleksi Tetap Warisan Negara LPSVN, manakala untuk tujuan penerbitan, semua karya akan dimasukkan.

Advertisement