Anda di sini

Merungkai isu di Loji Rawatan Air Tubau

Advertisement

Oleh Abg Ismail Abg Su’ut //

MENARA PENYIMPANAN AIR DI LOJI RAWATAN AIR TUBAU

HASIL reka cipta sistem pengepaman air serba boleh melalui usaha inovasi Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu akhirnya berjaya merungkai pelbagai masalah yang sering dihadapi Loji Rawatan Air Tubau yang sebelum ini menggunakan sistem konvensional.

Sistem C-Flex H2O Intake merupakan inovasi pintar Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Q-Inno Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu yang dibarisi Mohd Rahmat Jamali sebagai fasilitator kumpulan dan Haliza Abdul Khalek sebagai ketua kumpulan.

Juruteranya yang mewakili KIK Q-Inno Anwarul Adzizi berkata, kajian terhadap masalah loji air Tubau sebelum ini membabitkan pam jenis lama kerapkali menghadapi masalah tersumbat semasa pengambilan air, pam air mentah (RWP) di loji air pula lemah dan hanya mampu mengepam air dari 4,000 hingga 5,000 gelen sejam berbanding kemampuan sebenar 8,000 hingga 9,000 gelen sejam.

Katanya, kedudukan pam yang jauh di dasar sungai serta ditimbus pasir dan lumpur turut mengakibatkan pam tersebut menyedut pasir, tanah dan lumpur semasa beroperasi.

“Pasir, tanah dan lumpur memasuki ke bahagian ‘Non–Return Valve’ menyebabkan pam tidak dapat beroperasi dan berlaku pemendapan pasir, tanah dan lumpur di bahagian tersebut,” ujarnya menyampaikan taklimat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani yang mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek C-Flex H20 Intake di Loji Rawatan Air Tubau kira-kira 98 kilometer dari Bintulu pada 20 September lalu.

Beliau berkata, keadaan itu turut mengakibatkan kepanasan pada pam kerana tekanan beban tinggi, RWP pula mudah rosak serta hakisan pada pam yang lamakelamaan menjadi haus sekali gus menyebabkan RWP menjadi lemah.

Selain itu katanya, kerjakerja penyelenggaraan terhadap sistem pam lama ini juga sukar kerana pekerja terpaksa menyelam bagi membuka nat dan sebagainya, manakala hasil bekalan air mentah sukar untuk dirawat kerana kewujudan kotoran berlebihan akibat mendapan lumpur dan tanah.

Jelasnya, kualiti air yang telah dirawat juga terjejas, kotor, berbau lumpur, tidak konsisten dan sering terganggu.

Katanya, paling dibimbangkan adalah pekerja terpaksa menanggung risiko bahaya terdedah kepada serangan buaya di kawasan hulu sungai.

Justeru itu katanya, dalam usaha merungkai segala permasalahan itu, mereka akhirnya berjaya mencipta satu peralatan yang fl eksibel bagi mengurangkan mendapan lumpur dan pasir.

Menurutnya, nama yang diringkaskan iaitu C bermaksud Clean (Bersih), Flex-Fleksibel, H2O-Air dan Intake-Muka Sauk.

Beliau berkata, ciri-ciri prototaip atau peralatan itu ialah tahan lasak dan kukuh, fl eksibel mengikut permukaan air, tidak mudah rosak dan ringan.

Kelebihan peralatan itu juga katanya, peningkatan kapasiti air yang dipam yang mana sebelumnya tempoh masa pengepaman untuk memenuhi tangki adalah 10 jam dengan kapasiti air yang dipam 181,600 liter, namun selepas penggunaan CFlex H2O Intake, tempoh masa pengepaman juga dalam 10 jam jumlah air yang dipam meningkat kepada 300,000 liter.

Beberapa maklum balas turut diterima kumpulan kejuruteraan JKR Bahagian Bintulu mengenai kesan penggunaan peralatan itu yang begitu positif daripada penduduk setempat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memohon penghantaran bekalan air bersih ke Tubau.

Projek C-Flex H20 Intake.

KUALITI AIR

Pada 9 Julai, 2010 dan 29 Julai, 2011 sejumlah 80,640 liter air telah dihantar dua kali ke Tubau untuk mengatasi masalah kekurangan air bersih.

Bagaimanapun dari 30 Julai, 2011 hingga 24 September, 2012 masalah kekurangan air bersih tidak timbul lagi selepas projek itu dilaksanakan.

Pada 20 September, 2012 Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Balai juga menghantar maklum balas dan laporan kualiti air yang dibekalkan dari Loji Rawatan Air Tubau.

Guru Besar SK Bukit Balai Mangai Tugau dalam surat maklum balas bertarikh 20 September, 2012 menyatakan sebelum projek dilaksanakan bekalan air sering terputus terutamanya ketika kemarau dan semasa terputus bekalan minyak diesel.

Katanya, kualiti air juga agak rendah (keruh), kotor dan nampak kurang selamat untuk digunakan sama ada untuk dimasak dan minuman, masalah kepada muridmurid dan guru-guru yang terpaksa mandi di sungai dan merekaterpaksa mendapatkan bekalan air terus dari sungai (tanpa dirawat) untuk kegunaan harian (masak dan minum).

Aspek keselamatan staf dan murid-murid pula tidak terjamin akibat ancaman buaya, risiko lemas bagi staf dan murid-murid yang tidak pandai berenang.

Begitupun katanya, selepas projek itu dilaksanakan mereka tidak lagi mengalami masalah terputus bekalan air, kualiti air meningkat, bersih dan selamat digunakan, aspek keselamatan staf dan murid terjamin sepanjang masa dan rutin harian sekolah dapat dipatuhi sepenuhnya.

Loji Rawatan Air Tubau menampungkapasiti 0.65 juta liter sehari (MLD) mula beroperasi pada 1997.

Akses jalan darat dari Bintulu adalah sejauh 98 kilometer termasuk menggunakan jalan sungai ke loji selama 15 minit.

Jumlah isi rumah yang mendapat bekalan air bersih itu adalah 400 orang dan kadar pengepaman di loji itu adalah 18,160 liter sejam.

Loji Rawatan Air Tubau menggunakan ‘Submersible Pump’ yang mempunyai ciri-ciri berikut iaitu model Tsurumi Pump KTV-55 dengan kadar pengepaman 50 m3/h, kuasa kuda 7.5 kilowatt dan berat 82 kilogram, kapasiti pam 8,000 liter per jam dengan kadar pengepaman 18,160 liter dan 22,700 liter sejam untuk tempoh masa 10 jam.

Selepas penggunaan C-Flex H2O Intake, kadar pengepamannya meningkat kepada 40,860 liter sejam untuk tempoh masa hanya tujuh jam.

Penggunaan diesel dari 70 jam kepada 49 jam sahaja, penggunaan alum dari 248 kilogram (kg) kepada 208 kg, penggunaan abu soda dari 248 kg kepada 208 kg, penggunaan air untuk mencuci penapis dari 58,644 liter kepada 52,128 liter, penggunaan air untuk tujuan lain dari 168,392 liter kepada 162,276 liter, jumlah air yang perlu dipam dari 7,525,210 liter kepada 4,576,320 liter sahaja.

Analisis kos faedah selepas pelaksanaan projek untuk kos perjalanan penyelenggaraan sebelumnya RM12,112.50 dan selepas pelaksanaan projek hanya RM712.50.

Kos membuat C-Flex H2O Intake yang mana pembinaannya hanya sekali sahaja bernilai RM5,653.50 dan jimat RM5,746.50 setahun.

Kos faedah selepas pelaksanaan projek bagi jumlah diesel yang dijimatkan dari 70 liter sebelumnya kepada 49 liter dengan penjimatan 7,665 liter setahun.

Dengan mengambil kira kos penggunaan diesel sebanyak RM2.40 seliter mampu menjimatkan RM18,396 setahun.

Anggaran penjimatan sekiranya C-Flex H2O Intake diperluaskan ke seluruh Sarawak untuk loji berkapasiti 0.65 mld merangkumi loji di Kuching (2), Sri Aman (5), Sarikei (3), Mukah (8), Sibu (4), Miri (4), Bintulu (8), Limbang (1), Kapit (1),Samarahan (3) dengan keseluruhannya 38 loji untuk penyelenggaraannya ialah RM433,200.

Dengan jumlah janakuasa loji 15 buah, penjimatan bagi penggunaan diesel ialah M275,940; penjimatan kos tuntutan elaun perjalanan RM712.50×1 (atendan loji) ialah RM22,087.50.

SELESAI TAKLIMAT: Staf JKR Bahagian Bintulu merakam gambar kenangan bersama Morshidi, Philip, Muhamad Yakup, Wisil, Tuah, Junaidi dan yang lainnya.

MUKA SAUK

C-Flex H2O Intake juga boleh diaplikasikan kepada sektor perladangan kelapa sawit, kem pembalakan di pedalaman, kawasanpedalaman atau di luar bandar, klinik kesihatan dan kawasankawasan lain yang terletak jauh daripada loji rawatan air awam.

Muka sauk atau ‘raw water intake’ ialah proses pertama dalam sistem rawatan air.

Di sini air mentah dari sungai dipam oleh pam muka sauk sebelum dirawat di loji rawatan air.

Kedudukan pamstatik dan tidak fl eksibel terhadap aras air menyebabkan pam tergantung ketika aras air surut serta tidak mampu untuk mengepam sebarang air.

Pam tertanam akibat mendapan di dasar sungai ketika aras air pasang menyebabkan pam muka sauk mengepam air yang bercampur selut dan tanah yang akhirnya berlaku mendapan pada NRV (Injap Tak Berbalik).

Justeru rekacipta CFlex H2O Intake ialah inovasi untuk mengatasi masalah kerosakan pam yang sering berlaku di muka sauk.

Inovasi ini merupakan sebuah ‘pontoon’ yang berfungsi sebagai struktur muka sauk fl eksibel yang terletaknya pam muka sauk untuk menyedut air dari permukaan sungai untuk dipam ke rumah perawatan.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani memperakui projek itu dapat mengatasi pelbagai masalah kepada loji perawatan air di Tubau yang telah 20 tahun menggunakan sistem lama antaranya masalah pam serta saluran tersumbat yang disebabkan oleh tanah dan lumpur.

“Dengan adanya projek yang dihasilkan sendiri oleh pegawai-pegawai dalam JKR sendiri yang menjaga loji ini melalui Kumpulan Inovasi dan Kreatifnya (KIK)ia akan mampu menjimatkan kos minyak serta masauntuk datang ke loji itu untuk membersihkan pam pada tiap-tiap bulan dan pemasangan alat gantinya,” ujarnya.

Katanya, macam-macam perkara diambil kira sebelum projek inovasi itu berjaya dihasilkan KIK JKR Bahagian Bintulu.

“Bahkan projek itu turut menjimatkan kos penciptaannya sehingga lebih RM18,000 setahun, maka atas sebab itu perkhidmatan awam menubuhkan lebih banyak pasukan KIK lain di seluruh Sarawak yang kini berjumlah 232 pasukan,” tambahnya.

Lawatan itu turut disertai Timbalan Pengarah JKR Sarawak Ir Philip Ng, Pengarah Kualiti JKR Sarawak Junaidi Shahdan, Jurutera JKR Bahagian Bintulu Wilson Licok, Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari, Pegawai Daerah Bintulu Tuah Suni, Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Shukarmin Chasemon, pegawaipegawai kanan serta staf JKR Bahagian Bintulu.

KIK Q-Inno JKR Bahagian Bintulu pernah mendapat Anugerah Ketua Setiausaha Kebangsaan 2012 Kategori Negara untuk Johan Kategori Teknikal KIK Peringkat Tri-Teknikal, Anugerah Terbaik Pertandingan Keceriaan Merdeka 2011 Peringkat Kebangsaan Kategori Bangunan Kerajaan, 10 Kumpulan Terbaik Taraf Emas 3 Bintang KIK Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Peringkat Kebangsaan 2013 Kategori Awam, Johan Pertandingan 3R Music With Nature 2013 anjuran Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu dan Petronas.

Q-Inno turut dinobatkan sebagai johan Konvensyen KIK Peringkat Kebangsaan 2012 (Teknikal) serta turut dijemput membentang kertas kerja di Seminar Inovasi Sektor Awam Peringkat Kebangsaan anjuran Universiti Sains Malaysia 2013 dan bakal mewakili Malaysia di Konvensyen ICQC di Tokyo Jepun pada Oktober 2014.

Advertisement