Anda di sini

Masalah pendengaran kanak-kanak harus dipandang serius

Advertisement

Oleh Steve Annuar //

BIONIK TELINGA: Implan Koklea yang dipasang untuk kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran.

STATISTIK menunjukkan 17.14 peratus daripada 30 juta populasi di Malaysia mengalami masalah pendengaran dan sekurangkurangnya 3 daripada 1,000 kanak-kanak mengalami masalah pendengaran sejak lahir.

Masalah ini kebiasaannya menyebabkan perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak terjejas.

Oleh sebab itu, kanakkanak tersebut perlu mendapat rawatan awal supaya perkembangan bahasa dan pencapaian akademik mereka dapat dipertingkatkan.

Dr Doris Evelyn Jong Yah Hui dari Jabatan Otorinolaringologi (ORL) Hospital Miri memberitahu, jumlah pesakit kanakkanak di bahagian ini yang mengalami kehilangan pendengaran telah menunjukkan peningkatan dalam tempoh beberapa tahun ini.

Sekarang, seramai sembilan pesakit kanakkanak adalah dalam senarai menunggu untuk mendapat tajaan mendapat rawatan pembedahan Implan Koklea (CI) yang menelan perbelanjaan lebih setengah juta ringgit.

Beliau menyeru kepada orang awam untuk menghulurkan sumbangan kepada Tabung Kebajikan Hospital Miri untuk memulihkan kembali deria pendengaran mereka.

“Mereka yang berdepan masalah pendengaran yang teruk adalah dalam lingkungan usia 7 hingga 10 tahun di mana pilihan untuk mendapat rawatan adalah kurang.  Antara penyebab utama masalah ini meningkat adalah kerana kurangnya pemahaman dan pendedahan orang awam tentang kepentingan pendengaran di kalangan kanak-kanak,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Kempen Kesedaran Pendengaran dan Program CI di Miri berharap penganjuran kempen akan mendidik ibu bapa tentang keperluan pendengaran dan berupaya mengenali simptom masalah pendengaran bagi membolehkan intervensi awal (perkhidmatan rawatan dan pemulihan) setelah mengesan kecacatan yang dialami anak-anak mereka.

Sejak Julai 2013, Hospital Miri telah memperkenalkan program Saringan Pendengaran Bayi Universal yang meminta setiap bayi baharu lahir untuk menjalani ujian saringan pendengaran.

“Program ini adalah yang pertama diperkenalkan di Sarawak walaupun telah lama diperluaskan dan dijadikan sebagai polisi kesihatan di negara-negara lain. Kami berharap untuk memperluaskan perkhidmatan ini di hospital Limbang, Marudi dan Lawas tahun hadapan,” jelas Doris.

Bekas Pengarah Hospital Miri, Dr Uma Devi menyifatkan peningkatan kes kehilangan pendengaran di kalangan kanak-kanak adalah antara masalah besar yang harus dipandang serius oleh semua pihak.

Beliau bimbang kecacatan pendengaran akan memburukkan gejala sosial dalam masyarakat kerana kegagalan golongan berkenaan untuk mendapat pekerjaan.

Uma berkata, dianggarkan 4.42 hingga 6.13 peratus daripada populasi di Asia Tenggara mengalami masalah pendengaran.

Di Malaysia katanya, 33 hingga 50 peratus pelajar sekolah mengalami masalah tersebut dalam pelbagai kategori.

Beliau gembira dengan pelaksanaan Program Saringan Pendengaran Bayi Universal di Miri sebagai langkah awal mengesan dan merawat masalah berkenaan.

“Implan Koklea adalah rawatan yang sangat mahal menelan perbelanjaan sehingga RM70,000. Tanpa rawatan ini, pesakit sukar untuk mendapat kembali pendengarannya,” jelas Uma.

Uma menambah, beberapa ratus kes pesakit di negara ini telah menjalani pembedahan Implan Koklea iaitu alat elektronik bagi memberikan deria bunyi kepada pesakit pekak .

Dikeluarkan oleh negara Amerika dan Australia, CI juga dikenali sebagai bionik telinga.

Uma berharap dengan perkembangan teknologi sekarang, masyarakat akan lebih peka terhadap masalah berkenaan dan memainkan peranan mereka mendapatkan rawatan awal serta memastikan anak-anak menjaga kesihatan telinga.

Mengulas tentang kempen, Doris berkata, Jabatan ORL Hospital Miri berharap kempen akan menambah kesedaran orang ramai tentang penyakit berkaitan telinga, pengetahuan tentang fungsi telinga dan pilihan rawatan.

Menerusi aktiviti ini, masyarakat turut diperkenalkan dengan alat bantu dengar terkini serta berpeluang menjalani pemeriksaan telinga.

Advertisement