Anda di sini

Program Integrasi Komuniti, berbeza namun menyeronokkan

Advertisement

Oleh Kepu Sidi

 

MESRA: Hubungan antara peserta Program Integrasi Komuniti cukup baik.

PROGRAM Integrasi Komuniti yang berpusat di Kampung Manjoi, Perak baru-baru ini melibatkan penyertaan lebih 100 pemimpin Komuniti Rukun Tetangga (KRT), media dan NGO dari Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Mereka yang terpilih juga terdiri daripada ketua masyarakat dari ketiga-tiga kawasan.

Peserta bukan sahaja berpeluang menimba pengalaman baharu tetapi juga menjalani pelbagai aktiviti menarik sepanjang program selama seminggu itu.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi (JPNIN) Perak, Alias Mohamad berkata, program dahulunya dikenali dengan nama Program Lawatan Integrasi dilaksanakan JPNIN semenjak tahun 1984.

“Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program antaranya keluarga angkat, lawatan ke tapak bersejarah, gotong-royong, sukaneka, program silang budaya dan jalinan budaya.

“Konsep ‘keluarga angkat’ merupakan kaedah yang mempunyai makna besar dan hasil yang memberangsangkan kepada para peserta program,” katanya ketika ditemui media, sewaktu siri lawatan rombongan terbabit ke bandar Sarikei, baru-baru ini.

Menurut Alias, penerimaan keluarga terhadap peserta yang berlainan agama, bangsa dan budaya mencerminkan tema sebenar program berkenaan.

“Walaupun tempoh satu minggu adalah singkat, namun dalam kalangan peserta yang terdiri daripada etnik Melayu, Cina dan Bumiputera Sarawak, Sabah dan WP Labuan berpeluang merasai sendiri cara kehidupan masyarakat Perak secara dekat,” ujarnya.

Bagi peserta pula, ini merupakan peluang terbaik kepada mereka untuk menimba pengalaman baharu di samping melihat perbezaan sosial ekonomi masyarakat setempat.

Manakala, bagi keluarga angkat pula yang pertama kali mendengar dialek sukuan, keadaan ini menerbitkan jurang komunikasi antara saudara angkat masing-masing.

Dalam pada itu, Zainal Abidin Musa, 67, berkata, perbezaan bahasa menjadi daya penarik kepada mereka untuk mempelajari beberapa istilah kata yang sering digunakan dalam pertuturan.

“Anak angkat saya kebanyakannya dari Sabah dan Sarawak. Saya cukup seronok apabila berpeluang mempelajari beberapa istilah baharu yang cukup asing bagi kami di Perak. Dialek –dialek tempatan Sabah dan Sarawak amat unik dan berbeza,” katanya.

Manakala seorang peserta, Marcus Jimbai, 39, dari Sarawak berkata, program memberi peluang kepada mereka mengetahui adat resam masyarakat tempatan.

“Kelainan adat resam dan budaya tidak menjadi penghalang kami. Perbezaan itu bertukar menyeronokkan apabila kami dapat menjalin hubungan sebagai bangsa Malaysia. Terima kasih JPNIN,” katanya.

Advertisement