Anda di sini

Persiapan haji dijangka selesai dua hari sebelum wukuf di Arafah

Advertisement

MEKAH: Persiapan haji bagi jemaah Malaysia telah pun bermula di Arafah, Muzdalifah dan Mina dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang Rabu depan, dua hari sebelum Hari Wukuf yang merupakan kemuncak ibadah haji.

Ketua rombongan haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata persiapan di Arafah, apabila jemaah akan bermalam untuk wukuf, sudah 20 peratus siap dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang Rabu.

“Peringkat pertama membersihkan kawasan itu telah dilakukan dan sekarang dalam proses mendirikan khemah dan kemudahan asas termasuk memasang kipas dan lampu,” kata beliau kepada media Malaysia selepas melawat kawasan jemaah haji Malaysia di Arafah, Muzdalifah dan Mina bersama pasukan operasi haji Malaysia di sini petang Khamis.

Pasukan haji yang bertanggungjawab bagi Masyair, kawasan bermulanya ibadah haji di luar Mekah, juga mengadakan majlis doa selamat dan bacaan Yasin di kawasan khemah Arafah selepas solat Asar.

Arafah terletak kira-kira 22 km dari Mekah sementara Mina pula 7km dan Muzdalifah pula 10km.

Sementara itu, Syed Saleh berkata persiapan di Muzdalifah, yang terletak antara Arafah dan Mina, kira-kira 8km dari Arafah, apabila jemaah haji akan berkhemah di sini pada satu malam pada 9 Zulhijah, sudah 70 peratus siap.

Sebanyak 22,320 jemaah haji Malaysia akan bergerak ke Muzdalifah dari Arafah selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijah dan selain beribadah di kawasan tanah lapang tanpa bumbung tetapi dengan kemudahan asas seperti tandas, para jemaah akan mengutip ketulan batu-batu kecil untuk melontar di ketiga-tiga Jamrah di Mina.

Syed Saleh berkata persiapan di Mina, terletak kira-kira 7km dari Mekah, apabila para jemaah akan bermalam selama 3 malam untuk lontaran tiga jamrah, sudah 80 peratus siap.

Khemah-khemah berwarna putih dan infrastruktur asas telah pun disediakan.

Beliau berkata susulan pengumuman oleh Mahkamah Agung Arab Saudi bahawa Hari Arafah jatuh pada 3 Okt bersamaan dengan 9 Zulhijjah, ia lebih mudah untuk mempercepatkan kerja-kerja bagi memastikan semuanya siap sebelum jemaah haji Malaysia mula bergerak pada Khamis. — Bernama

Advertisement