Anda di sini

Perlu amanah, berintegriti dalam hadapi cabaran ICT

Advertisement

KUALA BERANG: Sifat amanah dan berintegriti amat penting dalam menghadap cabaran era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) canggih dalam dunia tanpa sempadan ketika ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata ini kerana apa sahaja maklumat yang disebarkan menerusi internet boleh diakses dengan mudah pihak lain dan boleh memberi impak besar terhadap imej profesion masing-masing.

“Antara cabaran besar yang perlu dihadapi semua adalah untuk mengekalkan integriti dalam menjalankan tugas … saya sangat menekankan pentingnya semua pihak berhati-hati ketika menggunakan internet dalam menyebarkan maklumat,” katanya sambil memberikan contoh kes kebocoran soalan kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Kes kebocoran itu wajar dijadikan iktibar dan berlaku akibat tiada integriti di pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menggalas amanah, katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Guru-Guru Kafa (Perkat) Parlimen Hulu Terengganu di sini semalam.

“Tidak lama lagi, akan berlangsung Ujian Penilaian Kelas Al Quran dan Fardu Ain (KAFA), jadi nasihat saya kepada guru agama KAFA ini, janganlah sesekali gadaikan integriti semata-mata mahu mencapai sesuatu yang akan menjejaskan profesion guru ini,” katanya.

Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu turut mengingatkan guru KAFA agar menjalankan tugas dengan cemerlang kerana peranan mereka amat penting dalam membentuk individu muslim berperibadi mulia.

“Apatah lagi kita pada hari ini terdedah dengan kebanjiran maklumat tanpa sempadan dan tanpa sekatan.

“Jadi hanya dengan ilmu dan peribadi mulia dapat membendung individu terjebak dalam aktiviti tidak sihat,” katanya. — Bernama

Advertisement