Anda di sini

Kurang satu wakil PAS dalam barisan exco baharu Selangor

Advertisement

SHAH ALAM: Menteri Besar Mohamed Azmin Ali menambah satu anggota daripada PKR dan mengurangkan seorang wakil PAS dalam barisan 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor baharu yang diumumkan semalam.

Tiga jawatan exco DAP dikekalkan dan beliau menamakan tiga muka baharu untuk barisan exco negeri di bawah pentadbirannya.

Mereka yang baharu dilantik ialah anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Adun Batu Caves Amirudin Shari, kedua-dua-nya daripada PKR dan Adun Taman Templer Zaidy Abdul Talib daripada PAS.

Mohamed Azmin berkata Nik Nazmi melepaskan jawatan timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Selangor untuk membolehkan pelantikannya sebagai anggota exco.

Jawatan timbalan speaker itu akan diisi wakil rakyat PAS dan pelantikannya akan dibuat semasa Dewan bersidang pada November, kata-nya semasa mengumumkan barisan exco baharu itu dalam sidang akhbar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Tujuh lagi anggota exco yang dilantik merupakan mereka yang telah berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar Sela-ngor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Mereka ialah Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat Ping dan Adun Dr Daroyah Alwi (Sementa), kedua-dua-nya daripada PKR,” kata Mohamed Azmin.

Turut dilantik semula ialah Adun Sungai Pinang Datuk Teng Chang Khim, ADUN Kota Alam Shah V. Ganabatirau dan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ketiga-tiganya daripada DAP.

Wakil parti PAS yang dikekalkan ialah ADUN Chempaka Iskandar Abdul Samad dan ADUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi.

Yang digugurkan ialah dua wakil PAS, ADUN Selat Klang Dr Halimah Ali dan ADUN Sabak Sallehen Mukhyi sementara wakil PKR yang tidak dilantik semula ialah ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail.

Ini bermakna, barisan exco baharu itu mempunyai dua wanita, kurang seorang daripada pentadbiran lama.

Mohamed Azmin berkata beliau telah menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam untuk mendapatkan perkenan bagi barisan exco baharu selaras dengan peruntukan LIII.(2)(b) Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. — Bernama

Advertisement