Anda di sini

Khalid sahkan penangkapan tiga lelaki sertai kumpulan pengganas di Syria

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penangkapan tiga lelaki warga tempatan kelmarin, disyaki merancang untuk berlepas ke Syria bagi tujuan menyertai kumpulan pengganas Negara Islam (IS) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Beliau berkata dua daripada suspek yang ditangkap berumur 26 tahun dan masing-masing bekerja sebagai juruteknik dan arkitek, manakala seorang lagi suspek berumur 42 tahun yang mengendalikan perniagaan kedai runcit.

Menurut Khalid, pihaknya turut merampas sehelai bendera kumpulan pengganas IS milik seorang daripada suspek itu.

“Kesemua mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA, kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan dan siasatan mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012,” kata Khalid dalam kenyataan semalam.

Katanya pihak polis akan terus mengambil tindakan pencegahan di bawah undang-undang sedia ada ke atas mana-mana rakyat Malaysia yang dikesan merancang untuk berlepas ke Syria menyertai kumpulan pengganas IS. — Bernama

Advertisement