PUTRAJAYA: Seorang pegawai polis semalam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini daripada pertuduhan rasuah.
Panel hakim tiga anggota dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif membenarkan rayuan Cif Insp Ahmad Kamar Ahmad Abbas untuk membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya dengan pertuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan denda RM10,000.
Md Raus, yang bersidang bersama-sama dua hakim Mahkamah Rayuan Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, berkata adalah tidak kukuh untuk mensabitkan Ahmad Kamar terhadap pertuduhan itu hanya berdasarkan keterangan seorang lagi anggota polis.
Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada 8 Ogos, 2011, mendapati Ahmad Kamar, 55, bersalah menerima rasuah RM600 sebagai dorongan untuk memulangkan peralatan karaoke kepada pemiliknya seperti diperintahkan Mahkamah Majistret Tampin, di sebuah restoran di Tampin, Negeri Sembilan pada 28 Jan, 2008.
Pada 29 Jan, tahun lepas, Mahkamah Tinggi Seremban menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen itu. — Bernama