Anda di sini

Tunjuk kemewahan punca isi rumah terbeban hutang

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kebanyakan isi rumah pada masa kini dilihat hidup di luar kemampuan pendapatan mereka sehingga menyebabkan mereka terpaksa menanggung bebanan hutang akibat berbelanja secara berlebihan, kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Nik Mustapha Nik Hasan.

Beliau berkata ia berpunca daripada sikap masyarakat yang suka berlumba-lumba untuk menunjukkan kemewahan yang membuatkan isi rumah di negara ini mencatatkan bebanan hutang yang tertinggi berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Menurut Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2013 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, sektor isi rumah berhutang bagi memenuhi keperluan dan kehendak seperti pembelian harta kediaman mencatat 47.1 peratus,” katanya.

Ini diikuti pembelian kenderaan bermotor sebanyak 20 peratus, pembelian hartanah bukan kediaman 9.4 peratus, kegunaan peribadi sebanyak 8.3 peratus, pembelian sekuriti pula sebanyak 7.8 peratus, pembelian kad kredit lima peratus dan lain-lain yang merangkumi 2.4 peratus.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ‘Seminar Beban Hutang Isi Rumah: Punca dan Penyelesaian di IKIM’ di sini semalam.

Nik Mustapha berkata pola hutang isi rumah yang meningkat setiap tahun menjadikan Malaysia antara negara yang mencatatkan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia iaitu 81.1 peratus daripada KDNK pada 2012 dan meningkat kepada 86.8 peratus daripada KDNK pada 2013.

“Oleh hal demikian, pendidikan dalam berbelanja merupakan satu aspek yang harus ditekankan kepada isi rumah agar tidak boros dan tidak berbelanja kepada perkara yang mampu menjerumuskan mereka ke kancah beban hutang,” katanya.

Sebanyak lapan kertas kerja dibentangkan dalam seminar dua hari itu yang bertujuan membincangkan senario semasa hutang isi rumah, mengenal pasti puncapeningkatan beban hutang isi rumah di Malaysia dan mencari penyelesaian kepada permasalahan beban hutang isi rumah.

Dalam pada itu, IKIM turut melancarkan cakera padat (CD) ‘Dunia Ekonomi’ iaitu kompilasi rancangan temu bual bersama Nik Mustapha mengenai ekonomi Islam dalam radio IKIMfm yang ke udara setiap hari Isnin jam 12.30 tengah hari.

Terdapat 10 tajuk perbincangan dalam CD itu, antaranya ‘Memahami Islam Membina Peradaban’, ‘Pentingnya Merancang Perbelanjaan Tahunan’, ‘Prinsip Hak Individu dan Tanggungjawab Individu kepada masyarakat’ serta ‘Strategi untuk Memperoleh Kejayaan dalam Perniagaan’.

Orang ramai yang ingin mendapatkan CD yang berharga RM20 itu, boleh menghubungi IKIM di talian 03-62046350 atau 03-62046277. — Bernama

Advertisement