Oleh Harry Ilias //
Samarahan lega selepas Mukah berjaya menewaskan Betong 3-2 pada perlawanan tertunda semalam

SAMA HANDAL: Aksi sengit perlawanan Piala Sarawak 2014 di antara Miri (jersi biru) dan Sarikei di Stadium Negeri semalam. Kedua-dua pasukan terikat 1-1. — Gambar Chimon Upon
KUCHING: Sarikei dan Miri mengesahkan slot suku akhir Piala Sarawak 2014 setelah kedua-duanya muncul juara dan naib juara Kumpulan B.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Negeri semalam.
Sarikei berada di hadapan seawal minit pertama hasil gol sendiri pemain Miri Zamhady Sarah.
Namun, Miri berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Mohammad Nazrul Husni ‘Tikus’ pada minit ke-13.
Sarikei akan bertemu dengan naib juara Kumpulan D Sri Aman yang seri 3-3 dengan Sibu dalam satu lagi perlawanan penentuan di Stadium Mini Samarahan semalam.
Perlawanan akan diadakan di Stadium Mini UNIMAS bermula jam 3 petang.
Manakala, Miri akan turun menentang juara Kumpulan D Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Mini Samarahan juga pada jam 3 petang.
Sementara itu, jurulatih Samarahan Ibrahim Mantali menarik nafas lega setelah pasukannya mengesahkan slot ke suku akhir dan akan menentang juara bertahan Kuching di Stadium Negeri pada jam 8.15 malam.
Samarahan kekal selaku naib juara Kumpulan C dengan enam mata setelah Mukah berjaya menewaskan Betong 3-2 pada perlawanan tertunda di Stadium Padang D semalam.
“Peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang namun kelebihan lebih berpihak kepada Kuching kerana mereka dibarisi ramai pemain yang lebih berpengalaman.
“Selain itu, mereka juga pastinya mahu mempertahankan kejuaraan dan meraih kemenangan di laman sendiri,” komen Ibrahim semalam.
Ibrahim bagaimanapun yakin pasukannya mampu mencipta kejutan dengan syarat pemain mengekalkan fokus dan tidak mempersiasiakan setiap peluang yang ada.
Satu lagi saingan menyaksikan juara Kumpulan C Limbang akan menentang SUKMA 2016 di Padang Stadium D bermula jam 3 petang.