KUCHING: Jumlah peserta yang mengesahkan penyertaan pada Larian Amal Monster Dash 2.0 setakat ini sudah mencecah 5,574 orang sekali gus menjangkaui bilangan yang disasarkan sebelum ini seramai 3,500 orang.
Bagaimanapun, pengerusi penganjur Datuk Patrick Liew berkata penyertaan bagi acara yang akan diadakan pada 4 Oktober nanti sempena sambutan Halloween adalah masih dibuka kepada orang ramai.
“Sejumlah 80 peratus peserta sudah mendaftar adalah golongan belia. Selepas ini, kami perlu memesan tambahan baju acara ini disebabkan jumlah penyertaan begitu banyak dan melebihi bilangan yang disasarkan,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Larian Amal Monster Dash 2.0 sejauh lima kilometer bermula dari jam 6 petang di Le’ Park (belakang Dewan Suarah Kuching) dengan pelepasan peserta dijangka disempurnakan oleh Menteri Muda Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.
Dianjurkan oleh OurYouth.my, acara tersebut bagi mengutip dana untuk di sumbangkan kepada tiga badan amal iaitu Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS), Persatuan Pesakit Kanak-Kanak Kritikal (S.O.S Kids) serta Persatuan Cerebral Palsy Bahagian Kuching dan Samarahan.
Orang ramai yang ingin menyertai acara ini boleh mendaftar secara dalam talian di www.monsterdashcharityrun.com atau memperolehi borang di Majlis Sukan Sarawak (di Dewan Suarah), Shine Pharmacy di Song Plaza Kuching, Porkies di Jalan Song Kuching dan cawangan Lea Sport Centre.
Yuran pendaftaran adalah sebanyak RM35.
Setiap peserta juga berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah seperti televisyen Samsung 40”, Ipad Mini, Nokia Lumia, peti sejuk Panasonic dan banyak lagi.