Anda di sini

Pelbagai inisiatif untuk pesara

Advertisement

Kerajaan terbukti bersungguh-sungguh menjamin kesejahteraan mereka

SERDANG: Pelbagai inisiatif untuk pesara kerajaan khususnya akan terus dilaksanakan bagi membolehkan golongan itu merasakan Malaysia sebagai bumi bertuah yang banyak memberi faedah, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Memetik artikel ‘The World’s Best Places to Retire in 2014’ dalam majalah International Living yang menyenaraikan Malaysia sebagai destinasi terbaik di negara Asia untuk menetap selepas bersara, beliau berkata mereka juga harus memiliki perasaan sama seperti pesara luar negara yang menganggap Malaysia syurga tempat tinggal.

“Jadi sesuatu harus dilaksanakan agar pesara di Malaysia juga akan terus merasakan Malaysia sebagai bumi bertuah,” katanya semasa melancarkan Karnival 1Pesara, yang julung kali diadakan di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) di sini semalam.

Katanya, pesara kerajaan turut menerima pelbagai insentif selepas persaraan sebagai tanda komitmen dan keprihatinan kerajaan seperti pelaksanaan program Sokongan Pesara Perkhidmatan Awam 1Malaysia (1MCSRS) untuk menjaga kebajikan pesara kerajaan.

Melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), Jabatan Perkhidmatan Awam melaksanakan program 1MCSRS dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia bagi merealisasikan empat teras merangkumi penjagaan kesihatan, kesejahteraan pesara, keusahawanan dan pengurusan kewangan.

Mohamad Zabidi juga berkata Malaysia mendapat penarafan tangga pertama bagi Dana Pembiayaan Persaraan di bawah faktor kecekapan kerajaan dalam World Competitiveness Yearbook.

“Ini membuktikan kerajaan memberi keutamaan kepada pengurusan dana bagi pembiayaan persaraan masa hadapan. Ini merupakan manifestasi kesungguhan kerajaan dalam menjamin kesejahteraan golongan pesara,” katanya.

Pada sidang media kemudian, Mohamad Zabidi berkata penganjuran Karnival 1Pesara yang pertama kali diadakan itu merupakan satu lagi inisiatif kerajaan untuk pesara perkhidmatan awam mendapatkan maklumat mengenai kelebihan, faedah dan ganjaran persaraan mereka.

Karnival itu akan diperluaskan ke negeri-negeri supaya pesara di luar Lembah Klang turut mendapat manfaat, katanya.

Pelbagai aktiviti diadakan sejak kelmarin dan berakhir semalam antaranya seminar pengurusan dan pembangunan keusahawanan, klinik pemeriksaan dan penjagaan kesihatan, padanan kerjaya serta pameran agensi kerajaan dan swasta. — Bernama

Advertisement