Anda di sini

Malvern ‘Juara antara Juara’ Iron Hardcore

Advertisement

Oleh Ghaz Ghazali //

MANTAP: Aksi (dari kiri) Malvern, Henro dan Mohayan ketika berentap.

GAYA JUARA: Malvern mempamerkan aksi yang menambat hati para juri.

UMUR tidak menjadi penghalang buat pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Samarahan Malvern Abdullah, untuk terus mengungguli sukan bina badan tempatan.

Berusia 39 tahun, jaguh tiga kali Mr Sarawak dan juara Mr Malaysia Bawah-70kg ini sekali lagi mencatat kecemerlangan dengan meraih gelaran Iron Hardcore Terbuka Sarawak 2014, anjuran julung kali Iron Hardcore Gym Kota Samarahan dan pusat beli-belah The Summer Mall dengan kerjasama Persatuan Bina Badan Negeri Sarawak (SBBA).

Sebelum ini Malvern yang bertanding di bawah naungan Phoenix Gym, telah menggondol trofi bagi acara Bawah-65kg yang melayakkan beliau bersaing bersama pemenang 65.1-75kg Henro Lee dari Sabah; dan juara Atas-75.1kg Mohayan Rosmani dari Kuala Lumpur.

Ternyata kemantapan fizikal dan gaya persembahan yang menarik pensyarah sasa ini berjaya memenangi panel juri yang terdiri daripada ­­para pegawai SBBA dan Persekutuan Binabadan Malaysia (MBBF).

GAGAH: Malvern (kanan) dan Buda mempersembah tarian ‘ngajat’ selepas keputusan diumumkan.

“Saya amat bersyukur atas kemenangan ini, tambah lagi apabila piala disampaikan oleh idola saya, saudara Buda Anchah.

“Ternyata persiapan intensif saya sebaik pulang dari Kejuaraan Bina Badan Asia di Macau baru-baru ini, amat berbaloi,” ujarnya apabila ditemui Utusan Borneo selesai acara kemuncak di Summer Mall malam Sabtu lepas.

“Bagi saya, setiap kejohanan diambil serius, tambahan lagi kejohanan Iron Hardcore ini mengumpulkan atlet berpengalaman dan baharu dari seluruh pelosok Malaysia.

“Memang menggembirakan dan teruja sekali apabila saya berpeluang bersaing dengan bakat-bakat berkualiti dari sini, Semenanjung Malaysia, Sabah dan juga Labuan, lebih-lebih lagi apabila nasib menyebelahi saya,” katanya sambil tersenyum.

Bagi Buda, juara Masters Asia tahun ini, beliau amat bangga atas kejayaan Malvern, yang juga rakan sepasukannya di Macau.

“Memang inilah tempatnya buat Malvern, beliau memang layak memenangi cabaran Iron Hardcore yang pertama ini.

“Saya juga gembira yang beliau sudah mengorak langkah dalam menyertai pertandingan antarabangsa kerana beliau telah berusaha keras untuk mencapai tahap ini,” katanya.

“Syabas saya ucapkan buat Malvern dan saya berharap beliau akan terus berjuang untuk menjadi juara dunia,” kata Buda.

Kejuaraan Iron Hardcore Terbuka Sarawak ini dianjurkan bersempena sambutan Hari Malaysia Ke-51 serta ulang tahun pertama Summer Mall.

Mempertanding tiga kategori dalam disiplin ‘Bina Badan’ dan dua kategori dalam disiplin ‘Badan Cantik’, cabaran kali pertama ini berjaya menarik hampir 100 peserta.

Dalam kategori Badan Cantik Bawah-170cm, tiga bersaudara merangkul tiga tempat teratas bermula dengan Mohd Khairulddin Hadzari dari Bintulu selaku juara, manakala dua sepupunya dari Miri, Syallehudeen Ahmad dan Abdul Khaliq Ahmad, masing-masing merangkul tempat kedua dan ketiga.

Adik Syal-lehudden pula, Mu-hammad Firdaus Ahmad, menjadi naib juara Badan Cantik Atas-170cm di belakang Mohd Razeaf Khasshoggi Razak dari Muscle Gear and Prolabs Gym Kuala Lumpur.

Di tempat ketiga peme-gang pingat gangsa bina badan Sukan Malaysia tahun lepas, Mohd Alrzrin Abdul Ghani dari Miri.

TIGA BERSAUDARA: (Dari kiri) Muhammad Firdaus, Syallehudden dan Abdul Khaliq bergaya sebelum naik ke atas pentas.

Bagi kategori Bina Badan, hadiahnya berupa wang tunai RM2,500 untuk juara, RM1,500 (naib juara), RM1,000 (tempat ketiga), RM500 (keem-pat) dan RM300 (keli-ma), ma-nakala tempat keenam hingga kelapan, setiap seorang membawa balik RM50.

Bagi kategori Badan Cantik, juara menerima RM1,400, RM1,000 untuk naib juara, RM700 tempat ketiga, RM300 (keempat) dan RM100 (kelima), manakala bagi tempat keenam hingga kelapan, setiap seorang RM50.

Setiap finalis juga menerima hadiah, baucer serta hamper dari para penaja GNC, WK Time, Borneo Bodybuilding Supplement, Kedai Pakaian Hari-Hari, XOX Mobile dan Newscastle Mobile Enterprise.

Pada acara yang sama, presiden SBBA Datuk Wee Hong Seng menyatakan 2014 adalah tahun cemerlang buat negeri ini, berdasarkan pencapaian atletnya di persada kebangsaan dan antarabangsa.

“Sarawak berjaya menjadi juara keseluruhan kejohananan Mr Malaysia tahun ini dan seorang lagi jaguh dari negeri ini telah berjaya menempatkan dirinya dalam pertandingan antarabangsa.

“Kita juga bangga atas kejayaan Buda memenangi kategori Masters di Macau bulan lepas, oleh itu kami telah bersetuju untuk melantik Buda sebagai ahli seumur hidup SBBA,” ujar beliau lagi.

Turut hadir pada penyampaian hadiah buat para pemenang ialah Pengarah Urusan Summer Mall Datuk Lee Chee Fui dan legenda bina badan Sarawak Bujang Taha.

PENGHARGAAN: Malvern dan Buda bersama wakil-wakil penganjur bergambar kenangan selepas pertandingan di Summer Mall.

Advertisement