Anda di sini

Fokus dan kekalkan prestasi

Advertisement

Limbang berdepan SUKMA 2016 pada aksi suku akhir hari ini

LIMBANG: “Jangan leka, terus fokus dan kekalkan persembahan dan prestasi terbaik ketika menentang pasukan lawan seterusnya (SUKMA 2016),” demikian nasihat Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Limbang (LFA) Alidin@ Brahim Tawar kepada pemain Skuad Limbang, semalam.

Beliau berkata, setakat ini para pemain mengikut arahan yang diberikan jurulatihnya Bulhaji Wahab dalam mengekalkan rentak permainan terbaik untuk mengekang kemaraan pihak lawan sehingga berjaya melangkah ke suku akhir Piala Sarawak 2014 selepas menewaskan Samarahan 2-1 petang kelmarin.

Alidin berkata, semua pemain menunjukkan komitmen tinggi dan mudah menerima arahan untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

“Setakat ini, para pemain mengikut arahan yang diberikan dan jangan leka dengan kemenangan ini untuk terus mara melangkaui peringkat suku akhir nanti,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Alidin menjelaskan, meskipun gementar ketika menunggu wisel penamat dibunyikan, namun pemain berjaya mengekang serangan bertubi-tubi pasukan Samarahan ke kubu mereka.

“Kita juga memberikan kredit kepada penjaga gol Bukhori Hasbul (Bob) yang memainkan peranan penting memastikan kubu kita tidak dibolosi Samarahan sepanjang masa kedua perlawanan semalam (kelmarin),” tambahnya.

Pada perlawanan cukup sengit di Stadium Mini UNIMAS kelmarin, Limbang membenam Samarahan dengan jaringan 2-1.

Mohd Daud Ismail menjaringkan gol pertama pada minit kesembilan perlawanan, manakala Mohd Alif Hassan menambah derita Samarahan menerusi jaringan pada minit ke-22 sebelum penyerang Samarahan, Ahmad Mubin Hamlet merapatkan kedudukan pada minit ke-31.

Skuad Limbang akan beraksi di suku akhir pada petang ini menentang SUKMA 2016.

Advertisement