Anda di sini

Tiga maut, kanak-kanak cedera dalam kemalangan

Advertisement

Motosikal yang dinaiki oleh kedua-dua mangsa.

LAHAD DATU: Tiga terbunuh manakala seorang kanak-kanak berusia empat tahun cedera dalam dua kemalangan jalan raya yang berlaku di sini dan di Sandakan.

Kes kemalangan pertama membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dalam kejadian di Kilometer 22 Jalan Lahad Datu-Tawau, di sini petang Isnin lepas.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Lokman Saling, 22, merupakan penunggang motosikal dan pemboncengnya Mohd Zul Amir, 16, dikatakan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Hamzah Hj Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya di tempat kejadian mendapati kemalangan itu berpunca daripada kereta Nissan Navara yang dipandu seorang lelaki berumur 45 tahun yang sedang dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu.

“Sebaik tiba di tempat kejadian dalam keadaan hujan renyai, kenderaan Navara terbabit dikatakan hilang kawalan lalu terbabas dan terputar ke laluan bertentangan sebelum bahagian belakang sebelah kanan kenderaan berkenaan merempuh motosikal yang datang dari arah hadapan.

“Impak daripada pelanggaran itu mengakibatkan penunggang dan pembonceng terpelanting ke sebelah kiri bahu jalan dan meninggal dua di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah di kepala dan anggota badan,” katanya sambil menambah, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Daerah Lahad Datu untuk bedah siasat.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan oleh Pegawai Penyiasat Trafik Sjn Mustafa Al Bakari Hj Husain.

Sementara itu di Sandakan, seorang wanita maut manakala seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Batu 6 Jalan Utara, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zabidi Md Zin berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Aida Sabtar, 56, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Manakala budak lelaki berumur 4 tahun yang menerima rawatan di hospital yang sama kini dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau berkata, kereta yang sedang dalam perjalanan dari Batu 5 ke arah Batu 7 itu telah terlanggar kedua-dua mangsa yang sedang melintas jalan di Batu 6 Jalan Utara dalam kejadian kira-kira jam 7 malam.

Katanya, kedua-dua mangsa yang cedera kemudiannya di kejarkan ke Hospital Duchess of Kent untuk menerima rawatan sebelum wanita berkenaan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam hari yang sama.

Zabidi berkata pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

 

Advertisement