Anda di sini

Samarahan di ambang ‘zon bahaya’

Advertisement

DIASAK: Penyerang SUKMA 2016 (kiri) diasak pemain Kuching pada perlawanan Piala Sarawak 2014
di Stadium Negeri semalam. Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Tuan rumah, Samarahan berada dalam zon bahaya setelah tewas mengejut 2-1 di tangan Limbang pada perlawanan terakhir Kumpulan C di Stadium Mini UNIMAS, petang semalam.

Kedua-dua pasukan berkongsi enam mata, namun Limbang merampas kedudukan teratas Kumpulan C dengan kelebihan jaringan dan melangkah awal ke suku akhir.

Nasib Samarahan kini bergantung kepada keputusan perlawanan di antara Betong dan Mukah yang ditunda berikutan hujan lebat di Stadium Mini Samarahan petang semalam.

Limbang turut mengintai slot ke suku akhir terlebih dahulu membuka jaringan pada minit kesembilan menerusi Mohd Daud Ismail.

Mereka terus mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan Mohd Alif Hassan pada minit ke-22 sebelum penyerang Samarahan, Ahmad Mubin Hamlet berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-31.

Perlawanan pada babak kedua semakin rancak apabila Samarahan terus mengasak kubu lawan untuk memburu jaringan penyamaan. Namun, ketumpulan jentera serangan menidakkan hasrat anak-anak buah Ibrahim Mantali untuk menambah jaringan.

Keputusan itu kekal hingga tamat masa perlawanan.

“Semua pemain kami bermain dengan baik dan menguasai permainan sepenuhnya.

Cuma nasib tidak menyebelahi kami,” kata Ibrahim ditemui Samarahan di ambang ‘zon bahaya’ selepas perlawanan semalam.

Menurutnya, jentera serangan juga agak tumpul dan banyak mensia-siakan peluang terhidang malah pemain juga hilang tumpuan selepas gol awal pasukan lawan.

Meskipun tewas, Ibrahim tetap yakin peluang Samarahan untuk melangkah ke suku akhir.

Sementara itu, perlawanan antara Betong dan Mukah di Stadium Mini Samarahan dihentikan pada minit ke-36 akibat hujan lebat.

Perlawanan akan disambung di Padang Stadium D pada jam 3.30 petang ini dengan Mukah mendahului 2-0.

Dalam perlawanan lain, juara bertahan Kuching dan SUKMA 2016 melangkah ke suku akhir Piala Sarawak 2014 meskipun kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Negeri, di sini semalam.

Anak-anak buah Idris Untong menamatkan saingan Kumpulan A di tangga teratas dengan empat mata sementara SUKMA 2016 bimbingan Johnny Dominicus menghuni tangga kedua dengan dua mata.

“Kredit untuk semua pemain kerana berjaya meraih satu mata penting. Kita akui corak pemainan mereka agak tenggelam pada babak pertama namun meningkat pada babak kedua,” kata Idris semalam.

Secara keseluruhan Idris tetap berpuas hati dengan keputusan itu dan bersedia untuk fokus terhadap saingan suku akhir nanti.

Kuching bakal menunggu naib juara Kumpulan C pada saingan suku akhir yang akan berlangsung esok.

Manakala SUKMA 2016 akan berdepan Limbang yang menjuarai Kumpulan C dengan enam mata.

Advertisement