Anda di sini

Pengawal keselamatan kini lebih profesional

Advertisement

Oleh RUZAINI ZULKIFLI

 

PARA peserta bergambar kenangan bersama pihak penganjur latihan CSG.

Kesan positif latihan CSG

HALA tuju holistik kawalan keselamatan di negeri ini kini lebih menjurus ke arah profesionalisme menerusi pelbagai pendekatan dan inisiatif yang dijalankan semata meningkatkan profesion berkenaan.

Certified Security Guard atau lebih dikenali sebagai CSG adalah sebahagian daripada ‘buah tangan’ Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam mengatur langkah strategik memastikan tahap pengawal keselamatan di negeri ini memiliki kualiti serta tahap profesional demi melaksanakan kawalan.

Baru-baru ini, latihan CSG telah dilaksanakan selama seminggu bermula 3 hingga 9 September lalu di Pusat Latihan Rela Jalan Gayang, Tuaran dengan menyaksikan lebih 127 peserta kursus yang terdiri daripada pengawal keselamatan membabitkan 27 buah syarikat dari negeri Sabah dan Sarawak.

Pengerusi Zon Sabah Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Kapten (B) Najmuddin Mohd Ibrahim ketika ditemui Utusan Borneo berkata, cetusan idea CSG itu merupakan salah satu ilham daripada NBOS dan intipati dalam memajukan negara menerusi Agenda Transformasi Nasional.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menggalas tanggungjawab berkenaan bagi mengemudi pelaksanaan latihan CSG menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa sama telah mengambil pendekatan bekerjasama dengan PPKKM untuk menyempurnakan tanggungjawab itu.

“CSG atau Certified Security Guard ini adalah semata-mata untuk meningkatkan keberkesanan sumbangan industri kawalan keselamatan kepada kesejahteraan negara dengan cara melonjakkan tahap profesionalisme di kalangan pengawal keselamatan.

“Pengawal keselamatan adalah salah satu sumber manusia yang terpenting dalam industri keselamatan itu sendiri dan sehubungan itu, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk meningkatkan profesionalisme mereka.

“Selain itu juga, menerusi CSG ini pihak KDN, PDRM dan PPKKM mampu mengatur langkah strategik bersama untuk memastikan mereka (pengawal keselamatan) memiliki kualiti mantap dalam menjalankan perkhidmatan harian,” katanya di sini kelmarin.

Menurut Najmuddin, latihan selama seminggu di Pusat Latihan Rela terbabit merupakan julung kali dilaksana di Sabah dan beliau berpendapat ia perlu diteruskan dari masa ke semasa kerana terlalu banyak input positif yang mampu diperolehi menerusi kursus-kursus seumpama itu.

“Untuk rekod, lebih 127 individu yang terdiri daripada pengawal keselamatan dari syarikat-syarikat di Sabah dan Sarawak telah terbabit dalam latihan CSG selama seminggu yang dikelolakan oleh PDRM dan lain-lain pihak di sini.

“Apa yang menarik, kesemua peserta terlibat amat komited dengan latihan yang telah diberikan malah dalam pengamatan pihak kami, mereka turut berpuas hati dengan intipati kursus itu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata latihan berkenaan akan dijalankan buat edisi berikutnya pada 2 hingga 8 November tahun ini dan turut dijangka dilaksana di lokasi yang sama.

 

Advertisement