Anda di sini

Melahirkan pemain berkualiti

Advertisement

Oleh Harry Ilias

TERIMALAH: Abu Bakar (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Sudarsono pada majlis makan malam bersama pasukan menyertai Piala Sarawak 2014 di Kuching, malam kelmarin.

KUCHING: Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman mahu tempoh kejohanan liga bola sepak anjuran persatuan-persatuan bahagian dilanjutkan ke enam atau tujuh bulan bermula tahun depan.

Katanya, langkah itu bagi mengekalkan mutu penganjuran liga di setiap bahagian sekali gus dapat melahirkan ramai pemain yang berkualiti dan dapat diserapkan dalam skuad senior Sarawak.

“Apabila tempoh liga dilanjutkan secara tidak langsung membantu memantapkan kemahiran para pemain,” katanya pada majlis makan malam bersama pasukan menyertai Piala Sarawak 2014 di Kelab Golf Sarawak (KGS) di sini malam kelmarin.

Menurutnya, kekangan kewangan untuk menyertai pertandingan di luar Sarawak menyebabkan FAS terpaksa memfokuskan kepada pertandingan liga tempatan sebagai jalan untuk melahirkan pemain-pemain baharu.

“Proses melahirkan pemain-pemain berkualiti bukan mudah dan memerlukan masa serta komitmen tinggi daripada semua pihak termasuk FAS sendiri.

“Justeru itu, saya berharap pengerusi (presiden) dari setiap persatuan bola sepak bahagian bertindak proaktif dan turut sama membantu dalam meningkatkan kualiti penganjuran liga di bahagian masing-masing,” katanya.

Sudarsono yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, pihaknya juga akan membantu persatuan bahagian yang aktif dalam menganjurkan liga bola sepak setiap tahun.

Tambahnya, FAS juga akan memperhebat program pembangunan bagi pemainpemain bawah 19 tahun susulan pencapaian cemerlang skuad negeri pada Kejohanan Piala Belia yang berlangsung di Melaka baru-baru ini.

“Dalam usaha memantapkan program pembangunan di peringkat akar umbi, kita mahu setiap akademi bola sepak yang ada di negeri ini berdaftar dengan FAS.

“Ini bagi memudahkan FAS memantau aktiviti dan perkembangan mereka selain membantu menyediakan pelbagai program pembangunan seperti seminar kejurulatihan dan sebagainya,” kata beliau.

Hadir sama Pengarah Kejohanan Datu Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Urusan Lea Sports Centre Raymond Sim, presiden serta pengurus persatuan bola sepak setiap bahagian, jurulatih dan pemain-pemain.

Advertisement