Anda di sini

Kongsi gelap: Ibu bapa diminta pantau pergerakan anak-anak

Advertisement

ALOR SETAR: Polis Kedah mengingatkan ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak mereka agar tidak terlibat dalam kegiatan kongsi gelap yang kini dipercayai aktif merekrut anggota baharu.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata ini kerana ketua kongsi gelap akan menjanjikan kemewahan kepada anggota baharu terutamanya pelajar sekolah sekiranya menyertai kumpulan mereka.

“Ibu bapa perlu lihat sebarang perubahan pada anak-anak mereka. Kalau sebelum ini mereka tiada motosikal dan sekarang ada motosikal mereka perlu lihat daripada mana anak mereka mendapatkan wang untuk membeli motosikal.

“Kita tak mahu anak-anak muda ini yang tiada pekerjaan mudah sertai kongsi gelap dengan menjual dadah dan melakukan kegiatan jenayah lain,” katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan khas bersama warga polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini semalam.

Sementara itu, Ahmad berkata polis sentiasa melakukan pemantauan dan memfokuskan kawasan berisiko tinggi yang menjadi tumpuan anggota kongsi gelap seperti di Sungai Petani, Kuala Ketil, Kulim dan Kota Setar. — Bernama

Advertisement