Anda di sini

Komputer dan mesin perjudian bernilai RM500,000 dirampas

Advertisement

BUTTERWORTH: Sebanyak 638 unit komputer dan pelbagai mesin perjudian bernilai lebih RM500,000 dirampas hasil serbuan polis di Seberang Perai Utara (SPU) dalam tempoh Januari hingga 31 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata 108 individu ditahan dalam serbuan di 47 premis sekitar daerah ini sepanjang tempoh itu.

“Mereka yang ditahan berumur 25 hingga 60 tahun dan polis turut merampas wang tunai sebanyak RM6,797 daripada premis yang diserbu dan orang yang ditahan sepanjang tempoh berkenaan.

“Kami akan menjalankan pemantauan dan operasi membanteras kegiatan judi melalui Ops Dadu dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas operasi pemotongan bekalan elektrik melalui Ops Dadu Pintas di kawasan SPU semalam.

Bekalan elektrik di 10 premis perniagaan yang masih berdegil menjalankan aktiviti perjudian di Butterworth, Sungai Dua dan Mak Mandin di sini dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini sebagai langkah membanteras dan melumpuhkan aktiviti perjudian di daerah ini.

Beliau berkata setiap premis yang terlibat hanya dibenar membuat penyambungan semula bekalan elektrik selepas tempoh sebulan dan mendapat kebenaran daripada polis.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata siasatan polis mendapati kejadian tembakan yang dilepaskan ke arah kediaman sebuah keluarga di Taman Seri Bertam di sini awal pagi 8 Sept lepas disebabkan pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap. — Bernama

Advertisement