Anda di sini

Bukan dihentak guru

Advertisement

Oleh RUZAINI ZULKIFLI

 

Gambar Vincent yang tersebar meluas di laman sosial sejurus kejadian itu.

Jabatan Pendidikan anggap isu selesai, ibu bapa puas hati penjelasan

 

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menafikan kecederaan seorang murid Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan Kitobu, Inanam adalah disebabkan dihentak pada meja oleh seorang guru, yang menjadi viral di laman media sosial kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi pada Isnin lepas itu, murid berkenaan yang dikenali sebagai Vincent Alfonskia, 8, dikatakan mengalami kecederaan di bahagian kiri kepalanya dan terpaksa menerima tiga jahitan ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Ketika insiden itu berlaku, murid terbabit dipercayai telah dipanggil oleh gurunya kerana gagal menyiapkan kerja rumah mata pelajaran Bahasa Melayu seperti diarahkan sebelum ini.

Difahamkan guru mata pelajaran berkenaan yang merupakan seorang wanita berasal dari Semenanjung Malaysia terdahulu telah cuba memegang kedua cuping telinga Vincent sebelum murid itu bertindak mengelak lalu terhantuk di tepi meja.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip dalam kenyataannya kelmarin mendedahkan insiden terbabit sudah selesai dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan murid tahun dua berkenaan dihentak oleh guru sepertimana didakwa segelintir pihak dan tersebar meluas di laman-laman sosial Facebook serta aplikasi Whatsapp.

“Apa yang berlaku adalah guru itu cuba memegang kedua cuping telinga Vincent kerana tidak menyiapkan kerja rumah.

“Namun murid itu kemudiannya mengelak ke arah kanan dalam keadaan membelakangkan guru itu dan menyebabkan dia hilang keseimbangan badan ekoran kedua kakinya bersilang lalu terhantuk di tepi meja guru,” katanya.

Jame dalam pada itu menjelaskan ibu bapa murid berkenaan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pihak jabatan dan kedua-dua pihak turut menganggap isu itu selesai.

“Berhubung laporan polis yang dibuat oleh bapa mangsa, ia hanyalah untuk meminta pihak jabatan mengambil tindakan lanjut sahaja,” katanya.

Laporan polis yang dibuat bapa mangsa, Alfonskia Petrus, 33, mendakwa anaknya mengalami kecederaan dan terpaksa menerima tiga jahitan akibat dihentak oleh guru di sekolah terbabit.

Pengadu sebelum itu menerima panggilan telefon dari pihak sekolah dengan mengatakan anaknya telah digegaskan ke hospital akibat insiden berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya telah mengambil keterangan bapa mangsa selepas laporan itu diterima.

“Buat masa ini, kita akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

Advertisement