Anda di sini

Semua bakal haji Malaysia disaring sebelum dibenarkan mengerjakan haji

Advertisement

MEKAH: Semua bakal haji Malaysia disaring sebelum dibenarkan mengerjakan ibadah haji bagi memastikan tahap kesihatan mereka.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Saiful Azlan Shariff berkata langkah itu bagi memastikan bakal haji yang diluluskan untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.

“Bakal haji yang memerlukan rawatan perubatan spesifik seperti pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis serta penyakit kanser tahap empat tidak diluluskan,” katanya kepada Bernama dan Utusan Malaysia di sini Isnin.

Beliau berkata ini bagi mengelakkan pesakit mengalami komplikasi semasa berada di tanan suci memandangkan kesukaran untuk menerima rawatan, dan keadaan yang kurang sesuai terutama semasa Wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina serta bertawaf dan bersaie bersama jutaan jemaah haji dari seluruh dunia.

Katanya Kementerian Kesihatan dan Tabung Haji mengeluarkan buku rekod rawatan jemaah haji yang turut mengandungi maklumat sejarah rawatan kesihatan mereka, bagi memudahkan pihak perubatan mengikuti perkembangan kesihatan setiap jemaah.

Buku rekod rawatan ini turut menjadi rujukan kepada Kementerian Kesihatan dan TH untuk meluluskan sama ada bakal haji itu layak untuk mengerjakan ibadah haji berdasarkan kod warna, kata Dr Saiful Azlan.

Warna hijau bagi  bakal haji yang sihat dan lulus pemeriksaan manakala warna kuning menghidap penyakit seperti jantung, kencing manis dan darah tinggi, dengan keadaan yang stabil dan lulus pemeriksaan kesihatan dan warna merah bagi mereka menghidap penyakit berisiko tinggi dan lulus pemeriksaan kesihatan serta memerlukan pengiring yang sihat dan sama jantina di Tanah Suci.

Warna hitam adalah bagi yang gagal pemeriksaan kesihatan dan tidak dibenarkan untuk mengerjakan haji.

Dr Saiful Azlan berkata doktor pakar dan doktor yang boleh membuat keputusan mengenai pemeriksaan kesihatan itu terdiri daripada doktor yang berdaftar dengan TH.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media Arab Saudi yang menyatakan kerajaan Arab Saudi bimbang mengenai peningkatan jumlah jemaah haji yang menghadapi masalah kesihatan kronik atau serius kerana ini boleh memudaratkan kesihatan jemaah lain.

Keadaan itu juga dilaporkan telah memberi masalah tambahan kepada kemudahan kesihatan di Tanah Suci.

Malah Timbalan Menteri Kesihatan (Pencegahan) Arab Saudi Abdallah Al-Asiri, dipetik sebagai berkata kebanyakan orang Islam di seluruh dunia percaya bahawa meninggal dunia semasa menunaikan haji atau di Tanah Suci akan mendapat ganjaran masuk syurga dan ini menyebabkan ramai jemaah haji menyembunyikan masalah kesihatan mereka untuk menunaikan haji.

Katanya sedangkan ibadah haji hanya diwajibkan bagi umat Islam yang berkemampuan dari segi fizikal dan kewangan.

Dr Saiful Azlan berkata setakat ini hanya 13 daripada lebih 18,000 jemaah haji Malaysia telah dimasukkan ke hospital Arab Saudi kerana memerlukan rawatan lanjut yang hospital milik Tabung Haji tidak dapat berikan, seperti pembedahan dan rawatan rapi (ICU).

“Kini hanya tinggal tujuh lagi pesakit yang berada di hospital-hospital Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata TH telah menyediakan tiga pusat rawatan iaitu Hospital Aziziah, Pusat Rawatan Shyisyah dan Pusat Rawatan Abraj Janadiriyyah serta 10 klinik di pusat penginapan TH. — Bernama

Advertisement