Anda di sini

Pemilik kenderaan persendirian tawar perkhidmatan Uber diburu

Advertisement

PUTRAJAYA: Mulai 1 Oktober, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan operasi memburu pemilik kenderaan persendirian yang menawarkan perkhidmatan Uber.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata penggunaan kenderaan persendirian untuk mengambil penumpang adalah melanggar Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, yang boleh didenda tidak melebihi RM10,000, penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Ia juga bercanggah dengan Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 kerana tidak memiliki lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam, yang pelakunya boleh didenda tidak melebihi RM10,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

“Ini bagaikan teksi sapu. Kita banyak terima aduan daripada pengusaha teksi kerana ia telah mengancam industri teksi di negara ini. Perkara ini perlu dibendung agar pengusaha teksi tidak terjejas,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Uber merupakan sebuah syarikat yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan menerusi aplikasi telefon pintar. Ditubuhkan pada 2009, ia menawarkan perkhidmatan di lebih 200 bandar raya di serata dunia.

Perkhidmatan ini mula memasuki pasaran Asia pada Februari pada tahun lepas di Singapura dan seterusnya di Kuala Lumpur pada Oktober tahun lepas secara atas talian melalui laman sesawang https: //www.uber.com/cities/kuala-lumpur.

Ismail berkata pihaknya mengesan kira-kira 50 buah kereta termasuk kereta mewah seperti Jaguar dan Mercedes Benz yang menawarkan perkhidmatan Uber itu.

Selain individu yang menawarkan perkhidmatan Uber, lapan syarikat tempatan juga dikenal pasti bekerjasama menawarkan perkhidmatan Uber di sekitar Lembah Klang, katanya.

“Saya minta semua pihak, individu dan syarikat yang terlibat menawarkan perkhidmatan Uber supaya memberhentikan perkhidmatan ini kerana pihak berkuasa JPJ, SPAD dan PDRM akan melancarkan operasi memburu mereka dan menyita kenderaan yang terlibat bermula 1 Oktober,” katanya.

Beliau berkata perkhidmatan Uber semakin popular kerana perkhidmatannya lebih murah, cepat dan baik namun penumpangnya tidak dilindungi insurans.

Ismail memberi contoh caj dari KL Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ialah RM34.50 untuk perkhidmatan Uber bajet manakala teksi biasa RM55.20.

“Penumpang perkhidmatan Uber diingatkan bahawa mereka tidak dilindungi skim insurans sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.

Baru-baru ini mahkamah serantau Jerman dilaporkan mengeluarkan injunksi sementara terhadap Uber kerana pemandunya tidak mempunyai lesen komersial yang diperlukan untuk mengambil penumpang.

Perkhidmatan Uber juga dilaporkan tidak dibenarkan beroperasi di Jakarta kerana tidak memiliki permit pengangkutan awam. — Bernama

Advertisement