Anda di sini

Mohamed Azmin MB Selangor yang baharu

Advertisement

Pihak Istana Selangor akan memberikan penjelasan hari ini mengapa beliau yang dipilih

SHAH ALAM: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali telah menerima surat pelantikan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani ketika dihubungi Bernama di sini petang semalam.

“Ya saya sahkan surat pelantikan (sebagai menteri besar baharu) telah diserahkan kepada Mohamed Azmin hari ini (semalam).

“Pihak Istana Selangor akan keluarkan kenyataan akhbar esok (hari ini) bagi memberi penjelasan mengapa Mohamed Azmin dipilih sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu,” katanya.

Majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang pada jam 10.30 pagi ini.

Pengesahan daripada Mohamad Munir sekali gus menamatkan teka teki siapa pengganti Abdul Khalid bagi mengisi jawatan tertinggi pentadbiran Selangor itu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor itu bagaimanapun sebelum itu memberitahu Bernama nama menteri besar Selangor yang baharu hanya akan diumumkan pagi ini.

Ini berikutan Sultan Sharafuddin Idris Shah masih belum memberi perkenan untuk pihaknya mengumumkan perkara itu semalam.

Ketika ditanya mengenai surat pelantikan itu yang tersebar di media sosial, Mohamad Munir berkata perkara itu berada di luar kawalan pihaknya.

“Kita memang ingin umumkan nama menteri besar yang baharu besok (hari ini) sekali dengan penjelasan mengapa pihak istana memilih Mohamed Azmin sebagai menteri besar Selangor yang baharu. Saya tidak boleh halang jika perkara ini (penyebaran surat pelantikan) berlaku,” katanya.

Difahamkan, salinan surat berkenaan turut diedarkan kepada pihak media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya petang semalam.

Kandungan surat bertarikh semalam (22 Sept) yang ditandatangani oleh Mohamad Munir itu antara lain memaklumkan bahawa Sultan Selangor telah berkenan melantik Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR untuk menjawat jawatan Menteri Besar Selangor berkuat kuasa hari ini.

Surat berkenaan juga meminta Mohamed Azmin yang juga Anggota Parlimen Gombak hadir ke Istiadat Angkat Sumpah jawatan dan ikrar akujanji serta pengurniaan surat cara pelantikan menteri besar di Istana Alam Shah pada jam 10.30 pagi ini.

Sebelum ini, nama Mohamed Azmin serta dua lagi iaitu ADUN  Cempaka Iskandar Abdul Samad dan ADUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Selangor yang ke-15 itu.

Bagaimanapun, ramalan lebih tertumpu kepada ADUN Bukit Antarabangsa itu, yang genap mencapai usia 50 tahun pada 25 Ogos lepas. — Bernama

Advertisement